BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum saya nak bertanya kalau bleach dan warnakan rambut boleh ke berpuasa kerana saya baru sahaja warna rambut dan tidak tau bleach tidak dibenarkan adakah saya boleh berpuasa seperti biasa ataupun saya perlu memotong rambut saya 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Berdasarkan soalan, perlu difahami syarat wajib dan rukun puasa. Syarat wajib bagi orang berpuasa ialah muslim, baligh, berakal, berkeupayaan dan bersih daripada haid dan nifas.

Rukun puasa pula ialah niat dan menahan diri dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Perkara yang membatalkan puasa ialah memasukkan sesuatu ke dalam rongga dengan sengaja, muntah dengan sengaja, keluar darah haid dan nifas, keluar air mani dengan sengaja, jimak, murtad, gila atau pengsan dan menukar niat.

(Rujuk Buku Panduan Amalan di Bulan Ramadan, JAKIM)

Oleh itu, tiada kaitan sah atau batal puasa bagi keadaan seseorang yang melunturkan warna rambutnya (bleaching) atau mewarnakan rambutnya (dyeing) kerana tiada bahan yang masuk ke dalam rongga apabila melakukan proses tersebut.

Manakala hukum bagi proses ini, bertepatan dengan kaedah sadd al-Zar’i’ atau menutup pintu-pintu yang membawa kepada perkara haram, melunturkan warna rambut perlu ditinggalkan supaya ia tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat Malaysia terutamanya dalam kalangan remaja. Hal ini kerana, melunturkan warna rambut yang masih hitam dan sihat dilihat sebagai satu perkara yang tabarruj iaitu berlebihan dalam berhias dan tiada keperluan. Bahkan ia juga terdedah kepada amalan tasyabbuh iaitu menyerupai gaya hidup orang bukan Islam di kebanyakan negara Barat. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.

(Riwayat Abu Daud)

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan untuk melunturkan warna rambut seperti rambut beruban pada usia muda atau tujuan perubatan, maka hendaklah dilakukan dengan sekadarnya dan tidak berlebihan.

Kesimpulan berdasarkan soalan, boleh berpuasa seperti biasa dan tidak perlu memotong rambut yang telah dilunturkan warnanya atau diwarnakan rambutnya melainkan pewarna tersebut boleh menghalang air kerana ia akan menyebabkan mandi wajib menjadi tidak sah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 15

message user image