Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assamualaikum w.b.t.,
Tuan/Puan,
Soalan saya adalah berkaitan zakat fitrah bagi diri isteri saya yang buat masa ini menetap/bermastautin di luar negara yang bukan majoriti muslim. Soalan saya adalah seperti berikut:
1. Bolehkah saya membayar sahaja zakat fitrah bagi diri isteri saya seperti biasa walaupun buat masa sekarang dia menetap di luar negara (isteri saya tidak dapat membayar sendiri disebabkan tiada akses untuk berzakat).
2. Sekiranya saya boleh membayarnya di Malaysia seperti biasa. Berapakah kadar yang sepatutnya dibayar? (kadar matawang di negara isteri saya menetap adalah lebih kukuh berbanding Malaysia).
Terima kasih atas segala maklum balas yang diberikan.
Jawapan
Jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya jua. Kaedah menyatakan:
Maksudnya: Barangsiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib jua menunaikan fitrahnya.
Justeru, merujuk kepada persoalan:
1. Menjadi tanggungjawab suami untuk membayar zakat fitrah siapa yang di bawah tanggungannya, termasuk isteri. Oleh itu suami boleh membayar zakat isteri di mana suami berada kerana tanggungjawab itu jatuh ke atas dirinya. Jadi suami boleh bayar zakat fitrah isteri seperti biasa walaupun isteri bekerja di luar negara.
2. Kadar zakat fitrah bergantung di mana suami membayar iaitu di Malaysia.
Sekian, terima kasih.