BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Mohon pencerahan. Menurut lama web mufti Wilayah Persekutuan, antara perkara yang membatalkan wuduq adalah:

2) Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka. Ain bererti fizikal sesuatu yang terlihat pada mata. Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang. laluan terbuka bererti lubang mulut, hidung, qubul dan dubur.

Soalan saya:

1. Adakah telinga bukan termasuk dalam laluan terbuka?

2. Sekiranya saya terpaksa menitiskan ubat ke dalam telinga bagi tujuan perubatan dan juga mencuci rongga dalaman telinga di hospital, adakah ia juga dikira batal puasa?

https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1355-al-kafi-395-perkara-perkara-yang-membatalkan-puasa

Sekian, terima kasih.


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Ibadah puasa yang dilakukan bukanlah semata-mata menahan diri dari lapar dan dahaga di siang hari, tetapi sebagai lambang keimanan dan ketakwaan sebagai hamba dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ‎‏

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Berdasarkan ayat di atas, antara kewajipan yang perlu dilakukan bagi orang berpuasa adalah menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari. Antaranya ialah memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Justeru dapat difahami bahawa telinga juga termasuk dalam kategori anggota rongga yang terbuka.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, perbuatan memasukkan ubat ke dalam telinga bagi tujuan perubatan adalah tidak membatalkan puasa kerana ia dihukumkan atas jalan darurah. Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman Ba ‘Alawi al-Syafi‘i dalam Bughyah al-Mustarsyidin, katanya:

Maksudnya: Jika seseorang ditimpa penyakit telinga yang tidak tertahan sehingga tidak mampu duduk diam, kecuali dengan diletakkan ubat dalam minyak atau kapas ke dalam telinga yang boleh melegakan atau menghilangkan penderitaan tersebut, berdasarkan pengetahuan dirinya atau pemberitahuan doktor, maka harus berbuat demikian dan puasanya sah kerana alasan darurah

Sila rujuk Buku Panduan Puasa Bagi Pesakit JAKIM: https://anyflip.com/mysjo/flxj/basic 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image