Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
saya nak dapatkan kepastian adakah solat teraweh perlu 8 rakaat atau 20 rakaat , jika kurang dari 8 rakaat ia tidak dikira solat teraweh (batal / tidak sah)?
adakah saya boleh melakukan solat teraweh 4 rakaat sahaja atau 2 sahaja, dan adakah sah?
Idea: ada yang berkata kurang Dari 8 rakaat sia sia atau teraweh penat katanya kerana tak sah.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Solat Tarawih menurut pandangan yang lebih tepat di dalam Mazhab Shafi’i adalah sebanyak 20 rakaat. Hal ini berdasarkan athar Khalifah Umar al-Khattab yang memerintahkan solat Tarawih 20 rakaat secara berjemaah pada zamannya dan juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Malik yang menerangkan pelaksanaan solat Tarawih adalah sebanyak 23 rakaat termasuk witir. Perihal 20 rakaat ini jelas dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam Al-Majmu’ Syarḥ al-Muhazzab, katanya:
Maksudnya: Mazhab Shafi’i melaksanakan (solat Tarawih) sebanyak 20 rakaat dengan 10 kali salam tidak termasuk witir. Ia juga termasuk 5 kali perselangan rehat, bagi setiap perselangan rehat ialah 4 rakaat beserta 2 kali salam. Ini adalah pegangan Mazhab Shafi’i dan telah berhujah para ashab kami dengan apa yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan yang lain dengan sanad yang sahih. Daripada as-Saib bin Yazid RA, beliau berkata: Pada zaman Umar bin al-Khattab RA mereka mendirikan solat Tarawih sebanyak 20 rakaat di bulan Ramadhan.
Namun bagi mereka yang mengerjakan solat Tarawih sebanyak 8 rakaat atau kurang daripadanya seperti 4 rakaat atau 2 rakaat tetap mendapat pahala Tarawih. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam Syarh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah:
Maksudnya: Sekiranya dia mengerjakannya kurang daripada 20 rakaat, maka hukumnya sah serta diberi pahala Tarawih kepadanya, berbeza dengan pandangan sebahagian ulama
Meskipun begitu, umat Islam disarankan agar memperbanyak amalan di dalam bulan yang mulia ini kerana ganjaran di sisi Allah SWT amat besar sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis di atas menerangkan bahawa perbuatan qiyam Ramadhan yang meliputi sekalian amalan soleh seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, zikir dan doa, serta selainnya, sekiranya ia dilakukan dengan penuh keimanan, nescaya akan diampunkan dosa-dosa kecil yang terdahulu. Malah menurut Imam Nawawi yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan adalah dengan mendirikan solat Tarawih.
Sekian, terima kasih.