BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin membayar zakat perniagaan. Di sini saya ingin tahu sekiranya zakat itu boleh digunakan untuk membayar hutang arwah suami saya atau hutang-hutang pembekal yang masih tertunggak dan tidak mampu saya jelaskan dalam masa terdekat?


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Secara prinsipnya, wang zakat perniagaan yang wajib dikeluarkan tidak boleh digunakan untuk membayar hutang arwah suami kerana ia adalah hutang si mati dan bukan tanggungan individu yang mengeluarkan zakat. Zakat yang dikeluarkan hendaklah diberikan kepada asnaf yang layak dan tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi atau keluarga sendiri. Oleh itu, jika seseorang hendak mengeluarkan zakat perniagaan, maka zakat tersebut perlu disalurkan kepada pihak berkuasa yang memungut zakat iaitu Lembaga Zakat Selangor bagi negeri Selangor.

Hutang suami hendaklah dibayar dengan menggunakan harta pusaka yang ditinggalkan sebelum ia dibahagikan kepada ahli waris yang berhak. Namun sekiranya puan berhasrat membantu menjelaskan hutang suami menggunakan wang puan maka ia dibolehkan dan tidak dikira sebagai zakat. Sekiranya tiada harta yang ditinggalkan dan tiada siapa yang membantu maka hutang tersebut kekal ke atas si mati.

Disamping itu puan boleh memohon pihak Baitul Mal untuk melangsaikan hutang tersebut. 

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 18

message user image