Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya telah berniat membayar zakat pendapatan untuk tahun 2024 pada bulan Mac 2025.
Tetapi semasa proses pembayaran secara online telah tersalah pilih tahun 2025..
Adakah saya tidak dikira membayar zakat tahun 2024
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Zakat pendapatan ialah zakat yang dikenakan ke atas al-Mal al-Mustafad (harta pendapatan) yang diperolehi daripada kerja dan usaha yang dilakukan sama ada dalam bentuk gaji, upah, subsidi, elaun, bonus, honorarium, pencen, hadiah, hantaran, pampasan, pusaka dan lain-lain. Kewajipan zakat ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat ke-267:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.
Berdasarkan situasi yang dikemukakan, zakat pendapatan yang telah dikerjakan adalah sah kerana tuan membayar zakat tersebut dengan niat bagi tahun 2024. Meskipun berlaku kesilapan dari segi teknikal, namun dari neraca hukum ia adalah sah. Kesilapan teknikal ketika pengisian sistem tidak membatalkan niat asal tuan, selagi tuan sedar dan yakin bahawa itu adalah zakat untuk pendapatan bagi tahun 2024.
Namun begitu, sebagai sebuah saranan dinasihatkan agar tuan menyimpan bukti pembayaran sebagai rujukan seperti resit atau salinan transaksi. Tuan juga boleh merujuk pihak Lembaga Zakat Selangor bagi tujuan rasmi serta memaklumkan tentang kesilapan tahun tersebut.
Sekian, terima kasih.