BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Saya duduk di Putrajaya.

Saya kena bekerja di Klang untuk urusan project waktu Pagi dalam jarak 52KM dan belah Petang saya perlu pergi ke KL Ampang dalam Jarak 50KM adakah ikot jumlah jarak perjalanan saya di benarkan Jamak?


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, antara syarat sah bagi melakukan solat secara jamak dan qasar adalah; 

  1. Perjalanan yang jaraknya melebihi 2 marhalah (81 km).
  2. Perjalanan yang tentu tujuannya (bukan merayau).
  3. Perjalanan yang tidak bertujuan maksiat.
  4. Perjalanannya telah melepasi sempadan qaryah.
  5. Tidak berniat menetap selama 4 hari atau lebih di tempat yang dituju (tidak termasuk hari datang & pulang).

Justeru, tuan tidak diharuskan untuk mengerjakan solat secara jamak dan qasar kerana perjalanan tersebut tidak memenuhi syarat-syarat sah bagi jamak dan qasar sebagaimana yang telah dinyatakan. Sesuatu perjalanan mestilah mempunyai tujuan yang jelas dan melebihi 2 marhalah sebelum permusafiran berlaku. Hal ini kerana, jika tujuannya jelas maka dia harus mengerjakan jamak dan qasar apabila dia telah ada keinginan dalam hatinya untuk bermusafir 2 marhalah ke atas sejurus sahaja keluar daripada tempat mukimnya. 

Sebagai contoh, perjalanan dari Putrajaya ke Seremban atau dari Kuala Lumpur ke Ipoh yang menepati jarak tersebut dan dilakukan secara berterusan dianggap memenuhi syarat musafir. Namun, perjalanan yang bersifat campuran atau tidak menentu arahnya, seperti dari Putrajaya ke Klang, kemudian ke Ampang yang kesemua destinasi tersebut terletak dalam lingkungan kawasan Lembah Klang adalah tidak menepati jarak dua marhalah serta tidak dianggap sebagai musafir syarie. Hal ini kerana jaraknya tidak mencukupi dan tidak jelas arah tuju perjalanan sebagai satu perjalanan jauh yang sebenar.

Maka, kaedah yang diterima dalam menentukan hukum musafir ialah perjalanan yang melebihi 81 km dalam satu arah tujuan yang tetap dan berterusan, bukan perjalanan berbilang destinasi dalam kawasan yang berdekatan yang tidak mencapai jarak tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 23

message user image