Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Saya merupakan penghidap uterine fibroid dan mengalami pendarahan berpanjangan yang menyukarkan saya untuk membezakan antara darah haid dan istihadah. Saya juga sukar untuk mengenal pasti ciri-ciri darah seperti warna, bau, atau tekstur dengan jelas kerana kedua-duanya sama dalam kes saya.
Keadaan ini menimbulkan kekeliruan dalam menentukan tempoh haid, waktu yang membolehkan saya menunaikan solat dan puasa, serta hukum berkaitan hubungan suami isteri. Hal ini turut menyebabkan saya berasa sedih dan tertekan kerana tidak dapat melakukan ibadah dengan sempurna dan sentiasa berada dalam keadaan was-was. Oleh itu, saya ingin mendapatkan panduan yang jelas mengenai perkara berikut:
Saya berharap pihak jabatan mufti dapat memberikan panduan yang jelas berdasarkan hukum syarak bagi membantu saya menentukan perbezaan antara haid dan istihadah dalam keadaan saya yang mengalami pendarahan berpanjangan. Panduan ini amat penting bagi memastikan saya dapat menunaikan ibadah dengan betul serta memahami hukum yang berkaitan dengan kehidupan seharian, termasuk dalam hubungan suami isteri.
Segala jawapan dan nasihat yang diberikan amat saya hargai. Terima kasih atas masa dan perhatian yang diberikan.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Secara umumnya, had maksimum tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Had minimum tempoh suci adalah 15 hari dan tiada had maksimum bagi tempoh suci.
Sekiranya darah keluar melebihi 15 hari, ini bermakna telah berlaku percampuran di antara darah haid dan darah istihadhah. Kaedah pertama yang digunakan adalah tamyiz, iaitu apabila dapat dibezakan ciri-ciri warna darah yang keluar. Darah yang pekat dianggap sebagai darah haid dan darah yang cair dikira sebagai darah istihadhah. Jika tidak dapat dipastikan ciri-ciri darah tersebut, maka kaedah adat hendaklah digunakan, iaitu dengan mengambil kira tempoh haid yang keluar sebelum ini, iaitu sebelum berlakunya gejala keluar darah secara berpanjangan.
Adalah dinasihatkan agar disemak semula bilangan hari haid dan hari suci yang terakhir sebelum terjadinya gejala ini. Katakanlah kali terakhir haid yang normal ialah 6 hari setelah itu suci 20 hari, kemudian terjadilah gejala darah yang berterusan ini. Maka, ini bererti kitarannya adalah 26 hari iaitu 6 hari haid dan 20 hari suci. Oleh itu, dalam keadaan gejala darah yang berterusan ini, boleh dikira 6 hari pertama sebagai haid, 20 hari sebagai suci kemudian 6 hari haid dan 20 hari suci hingga seterusnya selagi gejala belum berakhir.
Kaedah ini boleh diguna pakai sehingga berhenti darah.
Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, perlu solat dan berpuasa pada tempoh yang dianggap sebagai tempoh suci atau istihadhah dan hendaklah berhenti daripada solat dan berpuasa pada tempoh yang dianggap sebagai tempoh haid. Seandainya terdapat kesilapan di dalam pengiraan, maka ibadah tersebut hendaklah diganti.
Perkara ini sama seperti di atas, diharuskan untuk melakukan hubungan suami isteri dalam tempoh yang dianggap sebagai tempoh suci dan dilarang melakukannya di dalam tempoh yang dianggap sebagai tempoh haid. Adalah disarankan juga agar merujuk perkara ini kepada pakar perubatan memandangkan ia berkaitan dengan penyakit.