BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

1. Saya ingin bertanya perihal haid/ istihadah. Saya berumur 32 tahun dan memang mempunyai masalah haid tidak teratur. Kebiasaan sela masa 2-3 bulan sekali haid (6-7 hari). Baru-baru ini, saya ada mengambil ubat bagi 'induce' haid atas arahan doktor. Selepas seminggu ambil ubat, saya datang haid pada 27/2 (subuh) dan masih belum berhenti sehingga hari ini 12/3 (13 hari). Mengikut kefahaman saya, darah haid maksimum adalah 15 hari 15 malam. Jadi, mengikut pengiraan saya, hari ke 15 adalah pada 21/3. Sekiranya darah masih keluar selepas hari ke 15 Adakah saya boleh menyegerakan solat dan puasa pada 21/3 subuh atau 22/3 subuh?

2. Mengikut kalendar haid saya, next haid adalah pada 27/3 (pengiraan 28 hari dari hari pertama haid 27/2). Sekiranya darah masih belum berhenti pada 27/3 adakah ini dikira darah haid atau masih istihadah? - ini untuk menentukan adakah saya boleh solat dan puasa pada tarikh 27/3 sekiranya darah masih keluar dari 27/2.

3. Sekiranya darah sudah berhenti, contohnya pada 20/3. Namum darah kembali keluar pada 27/3, adakah ianya dikira haid ataupun masih istihadah?

---------------------------------------------------------------------------------------

- 27/2 subuh : hari pertama haid

- 12/3 : darah masih keluar (hari ke 13)

- 22/3 : dikira darah istihadah

- 27/3 : Anggaran tarikh bagi haid akan datang

----------------------------------------------------------------------------------------

Diharap soalan saya jelas dan mudah difahami. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, tempoh maksimum atau sebanyak-banyak haid adalah 15 hari 15 malam dan tempoh minimum suci adalah 15 hari 15 malam. Merujuk kepada persoalan:

1. Berdasarkan kenyataan yang diberikan, darah mula keluar pada waktu subuh 27/2/2025. Ini bermakna, tempoh 15 hari 15 malam berakhir pada waktu subuh 14/3/2025 (bukannya pada 21hb atau 22hb Mac sebagaimana yang puan nyatakan).

Apabila darah keluar melebihi 15 hari, ini bermakna darah haid telah bercampur dengan darah istihadah dan puan dikehendaki untuk segera menunaikan solat dan berpuasa jika di bulan Ramadhan.

2. Seandainya darah masih keluar hingga 27hb Mac. ini bermakna telah berlaku percampuran di antara darah haid dan darah istihadhah. Kaedah pertama yang digunakan adalah tamyiz, iaitu apabila dapat dibezakan ciri-ciri darah yang keluar. Darah yang pekat dianggap sebagai darah haid dan darah yang cair dikira sebagai darah istihadhah. Jika tidak dapat dipastikan ciri-ciri darah tersebut, maka kaedah adat hendaklah digunakan, iaitu dengan mengambil kira tempoh atau kitaran haid yang keluar sebelum ini.

Seperti yang puan nyatakan kitaran haid puan adalah 28 hari, dan kita andaikan bahawa tempoh haid sebelum ini adalah 7 hari (seperti kebiasaan yang puan nyatakan), maka ini bermakna adat kitaran haid puan adalah 7 hari haid, dan 21 hari suci. 

Ini bermakna, 27/2/2025 hingga 5/3/2025 (7 hari berdasarkan adat) adalah tempoh haid.

6/3/2025 hingga 26/3/2025 (21 hari adalah tempoh suci berdasarkan kitaran adat sebelum ini) adalah istihadhah.

Manakala, 27/3/2025 adalah permulaan haid yang baru.

3. Seandainya darah berhenti pada 20hb Mac dan darah keluar semula pada 27hb Mac. Dengan menganggap darah tidak dapat dibezakan dan menggunakan kaedah adat seperti di atas.  

Ini bermakna, 27/2/2025 hingga 5/3/2025 (7 hari berdasarkan adat) adalah tempoh haid.

6/3/2025 hingga 20/3/2025 (15 hari, masih dalam lingkungan 21 hari adat kitaran) adalah darah istihadhah.

21/3/2025 hingga 26/3/2025 adalah tempoh suci, kerana tiada darah.

Manakala, 27/3/2025 adalah permulaan haid yang baru, kerana telah melebihi had minimum 15 hari tempoh suci.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 9

message user image