Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, soalan saya
Saya baru tau air mazi tu najis (keliru dengan air mani) Sebelum ni semasa bersama tangan suami ada terkena tilam(tanpa cadar) , katil dan bantal.
1. Adakah saya perlu basuh kesemua tilam, katil dan bantal tersebut Jika tangan yg terkene air mazi terkena tempat2 tersebut.
2. Sama juga air mazi + air mani jika terkena tempat tersebut. Perlukah di basuh.
Terima kasih
Jawapan
Air mani ialah cecair jernih pekat yang keluar memancut ketika memuncaknya syahwat. Hukumnya suci tapi mewajibkan mandi wajib.
Air mazi ialah cecair berwarna jernih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Hukumnya najis mutawassitah dan membatalkan wuduk tetapi tidak mewajibkan mandi.
(Rujuk Ghayah al-Muna Syarh Safinah al-Naja, 168)
Maka sekiranya air mazi terkena pada tilam, katil, bantal dan sebagainya maka perlu dibasuh dengan basuhan najis mutawassitah iaitu dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau, rasa atau warna. Cara membersihkannya adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut iaitu bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi disunatkan untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.
Sekian, terima kasih.