BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ingin tanya mengenai hukum sertu jika termakan makanan yang dimasak bersama khinzir ('pork').

Semasa saya melancong di Eropah saya ada beli ayam goreng yang dikatakan halal oleh kedai tersebut. Lalu saya memakannya. Setelah beberapa hari, saya pulang ke kedai tersebut dan diberitahu bahawa ayam goreng tersebut digoreng dengan pork dan jika orang Islam ingin makanan halal, perlu beritahu mereka dan mereka akan goreng berasingan. 

Jadi, perlukah saya sertu tangan dan barang-barang yang terkena minyak dari ayam goreng tersebut yang saya sentuh dengan tangan berminyak kerana pada masa itu saya tidak tahu bahawa ayam tersebut digoreng bersama pork.

Bagaimana kalau ia sangat menyusahkan untuk sertu semua barang yang saya telah sentuh kerana saya tidak tahu barang mana untuk sertu dan barang mana yang terkena, dan juga beberapa minggu sudah lalu dari hari yang saya makan ayam tersebut dan sudah tiada kesan minyak dah?

Adakah solat dan amalan-amalan saya tidak diterima kerana tidak sertu selepas saya diberitahu bahawa ayam tersebut digoreng bersama pork?

Mohon pencerahan Tuan/Puan.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Hukum asal memakan dan menyentuh khinzir adalah haram qiyas ke atas hukum berkaitan anjing dan perlu kepada kaedah sertu jika berlaku sentuhan dalam keadaan basah. Namun, dalam keadaan ini puan tidak perlu sertu tangan dan barang-barang yang terkena minyak dari ayam goreng tersebut kerana dalam situasi ini puan dimaafkan disebabkan tidak tahu dan tidak disengajakan. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 5:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengajakan oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Solat dan amalan yang telah puan lakukan in sya' Allah diterima jika dilakukan dengan sempurna, iaitu cukup rukun dan syaratnya. Walaupun begitu, saya menasihati agar puan lebih berhati-hati dalam memilih kedai untuk dimakan terutamanya ketika berada di negara bukan Islam. Penting untuk kita fahami konsep "Halalan Toyyiban", iaitu makanan yang halal lagi baik. Halal itu bukan hanya pada jenis haiwan atau makanan yang dimakan, tetapi juga meliputi kaedah sembilan yang mengikut syariat Islam dan sebagainya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 15

message user image