BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya telah datang haid pada 11/3/2025 pada pukul 7:30 pagi. Tetapi pada hari Khamis 13/3/2025 sehingga 15/3/2025, darah tersebut tiada dan saya teruskan berpuasa dan solat macam biasa. Darah yang keluar pada 11 dan 12/3/2025 berwarna merah gelap kehitaman. Pada 16/3/2025, darah keluar dan berwarna merah terang seperti darah haid sebelum ini. Dan darah tersebut masih keluar sehingga 25/3/2025. Adakah darah yang keluar pada 11/3/2025 itu dikira haid? Dan adakah saya perlu berpuasa dan solat pada 26/3/2025 (hari ke-16 darah keluar) kerana dikira darah istihadah?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, had minimum darah haid adalah 1 hari 1 malam (atau 24 jam) dan had maksimum tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Manakala, had minimum tempoh suci adalah 15 hari dan tiada had maksimum bagi tempoh suci.

Sekiranya darah keluar melebihi 15 hari, ini bermakna telah berlaku percampuran di antara darah haid dan darah istihadhah. Kaedah pertama yang digunakan adalah tamyiz, iaitu apabila dapat dibezakan ciri-ciri darah yang keluar. Darah yang pekat dianggap sebagai darah haid dan darah yang cair dikira sebagai darah istihadhah. Jika tidak dapat dipastikan ciri-ciri darah tersebut, maka kaedah adat hendaklah digunakan, iaitu dengan mengambil kira tempoh haid yang keluar sebelum ini.

Merujuk kepada situasi yang dinyatakan, darah yang keluar telah melebihi 15, dan darah telah keluar pada hari ke 15 (25/3) dan hari ke 16 (26/3), ini bermakna telah bercampur antara darah haid dan istihadhah. Memandangkan darah dapat dibezakan, iaitu pada 11-12/3 darah yang keluar adalah merah kehitaman dan darah yang keluar pada 16/3 hingga 26/3 adalah merah cerah, maka darah berwarna merah kegelapan dianggap sebagai darah haid. Manakala darah merah cerah pada 16/3 hingga 26/3 adalah darah istihadhah.

Menjawab soalan yang diajukan:

1. Ya darah yang keluar pada 11/3 dan 12/3 adalah darah haid.

2. Ya puan perlu puasa dan solat pada 26/3.

Walau bagaimanapun, memandangkan pada 16/3 hingga 26/3 dianggap sebagai darah istihadhah, maka puan dikehendaki untuk mengqada' puasa Ramadhan dan solat fardu yang ditinggal.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image