Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin menanyakan soalan berkaitan haid. Saya merupakan OKU penglihatan yang diuji dengan buta sepenuhnya. Secara asas, saya faham tentang haid. Soalan saya, bagaimana saya ingin menentukan kedatangan dan habisnya haid saya sedangkan saya tak dapat melihat? Haid saya tidak menentu. tiada tarikh spesifik setiap bulan. Macam mana nak pastikan cecair yang keluar benar-benar darah terutama ketika mula-mula datang dan semasa habis. Bagaimana pula jika haid itu terputus-putus. Pendek cerita, kesukaran saya ni disebabkan kekurangan penglihatan saya. Ada tak hukum atau hadis berkaitan kes saya ni? Saya tak dapat melihat warna darah atau apa-apa cecair yang keluar. Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perkara pertama yang perlu dilakukan bagi seorang wanita adalah mengenal pasti adat atau kelaziman tempoh haidnya. Bagi wanita yang OKU penglihatan, boleh bersedia mengenal pasti haid melalui beberapa petanda awal sebelum datang haid seperti sakit di pangkal rahim, dada, pinggang atau mana-mana bahagian badan yang lain. Kemudian, kebiasaannya beberapa hari selepas itu akan mula keluar haid peringkat awal dan lazimnya wanita akan peka terhadap darah/ cecair yang dirasa keluar itu. Maka, bolehlah disemak sama ada ia benar haid atau tidak melalui rasa (sentuhan) dan bau. Darah haid mempunyai rasa yang sedikit berlendir dan bau yang berbeza dengan cecair lain iaitu hanyir. Oleh itu, wanita OKU penglihatan boleh mengguna kaedah tersebut untuk mengetahui haid.
Manakala, untuk mengenal pasti kaedah suci daripada haid, wanita yang OKU penglihatan bolehlah memastikan kering haid iaitu tiada lagi darah atau cairan yang dirasa keluar dengan menggunakan kapas dan kemudiannya memohon bantuan saudaranya. Berdasarkan riwayat Aisyah RA dalam Sahih al-Bukhari dan al-Muwatta’:
Maksudnya: Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah RA dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah berkata kepada mereka, “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.” (Rujuk al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi)