Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Saya ingin bertanya beberapa perkara berkaitan membaca Al-Qur'an.
Pertama, adakah wajib berwuduk untuk membaca Al-Qur'an, termasuk jika membaca melalui peranti digital seperti laptop atau telefon?
Kedua, adakah aurat perlu dijaga semasa membaca Al-Qur'an, dan jika ya, adakah aurat tersebut sama seperti aurat lelaki dalam keadaan lain (seperti solat)?
Ketiga, adakah dibolehkan membaca Al-Qur'an sambil berbaring, terutamanya bagi individu yang menghadapi masalah seperti kaki cepat kebas (kerana kaki saya besar sebelah), sakit pinggang, atau tidak mampu duduk lama? Apakah adab yang perlu dijaga dalam situasi-situasi ini?
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
Pertama: Dibolehkan untuk membaca al-Quran tanpa wuduk secara hafazan tanpa memegang mushaf. Walau bagaimanapun, membaca al-Quran dalam keadaan berwuduk adalah lebih baik.
Kedua: Hukum membaca al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat adalah makruh kerana menutup aurat ketika membaca al-Quran merupakan perkara sunat dan salah satu daripada adab membaca al-Quran. Hal ini kerana al-Quran merupakan kitab agung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada sekalian manusia.
Di samping itu, umat Islam digalakkan untuk sentiasa melazimi bacaan al-Quran kerana padanya terdapat pahala bagi setiap huruf yang dibaca dan ia boleh memberi syafaat di akhirat kelak. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya. (Riwayat Muslim)
Oleh itu, membaca al-Quran tidak terhad hanya boleh dilakukan ketika duduk, bila-bila masa dan bagaimana cara pun boleh sahaja seseorang itu membaca al-Quran termasuklah dalam keadaan berbaring dan hukumnya harus. Adapun begitu, amat disarankan agar sentiasa menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran sepertimana yang digariskan oleh para ulama antaranya menutup aurat, mengadap kiblat dan membersihkan mulut atau seumpamanya.