BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

assalamualaikum para guru . izinkan saya bertanya , saya masih keliru dan rasa gelisah atas percakapan ibu saya , ibu saya selalu benarkan saya bercinta atau berduaan dengan teman lelaki saya atas keinginan dia mahu wang tunai daripada teman lelaki saya , sehingga saya tegur dia , dia terus bermasam muka dan mendoakan keputusan sijil pelajaran malaysia ( SPM ) saya akan gagal . saya selalu berdoa dan solat kepada Allah agar mendoakan ibu saya berubah . Saya tahu saya belum layak , tapi apabila saya menyuruh ibu saya solat , dia selalu cakap bahawa saya sendiri anak derhaka .. ustaz , adakah doa yang dia lemparkan itu kepada saya akan makbul ? saya takut sangat sebab saya nak keputusan cemerlang lalu dapat bahagia kan dia . tapi dia sebaliknya tidak begitu , walaupun saya tahu dia sekadar marah , tapi adakah doa itu akan makbul ? minta maaf ustaz .. tolong jelaskan terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, doa ibu berkenaan hal yang buruk tentang anaknya tidak semestinya makbul kerana itu adalah urusan dan ketentuan daripada Allah SWT yang memakbulkan doa. Nabi SAW juga melarang seseorang berdoa keburukan sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah RA beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَوْلَادِكُمْ، وَلَا تَدْعُوا عَلَى أَمْوَالِكُمْ، لَا تُوَافِقُوا مِنَ اللهِ سَاعَةً يُسْأَلُ فِيهَا عَطَاءٌ، فَيَسْتَجِيبُ لَكُمْ

Maksudnya : Jangan berdoa keburukan atas diri kamu sendiri, jangan berdoa keburukan atas anak-anak kamu, jangan berdoa keburukan atas harta kamu. Jangan sampai kamu berdoa (keburukan) tepat pada masa Allah memakbulkan doa kamu. (Riwayat Muslim)

Tidaklah dikategorikan anak derhaka jika menolak arahan ibu yang menyuruh melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Hadis daripada Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المَعْرُوفِ

Maksudnya: Tiada ketaatan dalam kemaksiatan. Sesungguhnya ketaatan itu pada perkara kebaikan. (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, tindakan saudari menegur ibu tersebut adalah perbuatan yang dimuliakan oleh Allah SWT kerana perbuatan perbuatan berdua-duaan dengan lelaki yang bukan mahram adalah perkara maksiat. Tindakan saudari yang sentiasa mendoakan agar ibu berubah juga adalah perbuatan yang mulia. Jadilah anak yang solehah membalasnya dengan kebaikan dan teruskan sentiasa mendoakan ibu. Semoga suatu hari nanti hatinya lembut dan sedar kesalahannya serta tidak melanggar perintah Allah SWT lagi.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 6

message user image