Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya,
adakah memadai saya basuh bahagian tubuh ketika angkat hadas besar contohnya tangan, kaki atau muka dengan cara yang sama saya basuh ketika saya angkat hadas kecil? atau terdapat perbezaan dari segi cara basuhannya?
Jawapan
Berdasarkan soalan, isu ini sebenarnya melibatkan perbahasan para ulama fiqh berkenaan hukum menggosok anggota wuduk setelah dikenakan air padanya. Dalam bahasa arab perbuatan ini disebut sebagai الدلك. Dari sudut bahasa, ia membawa maksud: Melalukan tangan kepada anggota.
(Rujuk Mu’jam Maqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, 2/297).
Dalam mazhab Imam al-Syafi’e, perbuatan menggosok anggota wuduk untuk meratakan air adalah termasuk dalam kategori perkara-perkara sunat ketika berwuduk. Imam Al-Nawawi ketika menghuraikan beberapa perkara sunat dan mustahab di dalam berwuduk menyebutkan bahawa:
Maksudnya: Dan seseorang itu menggosok anggota wuduk.
(Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab oleh Al-Nawawi, 1/465).
Dr Mustafa al-Bugha menyebutkan bahawa antara perkara sunat dalam wuduk adalah الدلك ini. Iaitu melalukan tangan ke atas anggota ketika membasuhnya.
(Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 1/59)
Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Zaid R.A beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W berwuduk kemudian baginda melakukan begini, iaitu baginda menggosok (anggota wuduk).
(Riwayat Ahmad)
Keadaan yang sama juga digunakan dalam isu mandi junub. Ini kerana, Imam Al-Syafi’e dalam isu perkara-perkara sunat ke atas orang yang mandi wajib menyebutkan bahawa:
Maksudnya: Dan aku suka sekiranya dia menggosok kadar yang dia mampu dari bahagian badannya. Namun sekiranya dia tidak melakukannya dan mengenakan air kepada anggota tubuhnya maka itu telah mencukupi.
(Rujuk Al-Umm oleh Al-Syafi’e, 1/57).
Kesimpulan berdasarkan soalan, wuduk dan juga mandi wajib keduanya adalah sama dari sudut mengangkat hadas. Wuduk mengangkat hadas kecil dan mandi wajib mengangkat hadas besar. Hal ini berkaitan juga dengan cara basuhan mandi wajib dan wuduk iaitu memadai dengan melalukan air pada anggota mandi wajib atau wuduk dan disunatkan untuk menggosok aggota tersebut. Dalam keadaan ini sekiranya seseorang yang berwuduk sekadar mengenakan air kepada anggota wuduknya seperti meletakkan tangan atau kaki di bawah air paip, maka wuduknya adalah sah. Demikian juga sama hukumnya ketika mandi wajib.
Namun begitu, sekiranya tanpa menggosok anggota badan semasa wuduk atau mandi wajib akan menyebabkan air tidak kena (tidak sampai) kepada anggota tersebut, maka dalam keadaan ini hukum menggosok anggota wuduk atau badan tersebut adalah wajib.
Sekian, terima kasih.