Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum,
Saya Lily Suriannie. Berkenaan perkara Penerangan Qurban Haji
Saya ingin mendapat sedikit penerangan dari pihak Jabatan Mufti.
Situasi: Saya dan 5 beradik (6 adik beradik) berniat untuk sedekah Qurban kambing untuk emak yang masih hidup dan sihat bertujuan untuk berterima kasih pengorbanan beliau pada kami.
Jadi, saya inginkan kepastian kerana kekeliruan penerangan dari orang sekeliling.
Apa syarat untuk situasi diatas? Ada yang mengatakan kami sebagai peserta termasuk emak tidak boleh makan daging Qurban tersebut. Dan ada juga mengatakan bahawa emak perlu berpuasa, tidak boleh bercukur atau memotong kuku.
Saya harap pihak pihak Jabatan Mufti dapat menyelesaikan kekeliruan saya ini diatas penerangan dari pihan tuan/puan kemudian.
Terima kasih atas kerjasama yang akan diberikan.
Ikhlas,
Lily Suriannie.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Jika ibadah korban tersebut diniatkan kepada si ibu, maka korban tersebut perlu dinamakan atas nama ibu sebagai penama. Demikian itu, hanya ibu sahaja yang memperoleh pahala ibadah korban dan dia juga perlu mengelakkan sebarang perkara yang dilarang bagi seseorang yang melakukan korban seperti bercukur dan memotong kuku. Namun larangan ini hanya bersifat makruh yang perlu dijauhi.
Adapun anak-anak yang bersedekah mendapat pahala sedekah atas kebaikan menghadiahkan kambing sebagai korban bagi pihak ibu. Mereka tidak mendapat pahala korban kerana pahala korban hanya dimiliki oleh penama haiwan korban tersebut iaitu ibu.
Justeru berdasarkan situasi ini, pihak ibu dan anak-anak harus memakan daging korban tersebut kerana ia hanya dihukumkan korban sunat. Anggapan bahawa daging korban tidak boleh dimakan hanya terpakai dalam konteks korban nazar yang diharamkan mengambil bahagiannya walaupun sedikit. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa setiap bahagian korban yang dilaksanakan ada bahagian faqir miskin yang perlu diberikan kepada mereka bahkan afdhal bagi pelaku korban mengambil sedikit sahaja daripada bahagiannya dan menyedekahkan sebahagian besar daripada bahagiannya.
Sekian, terima kasih.