Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, soalan tentang solat bagi pesakit kanser yang tidak boleh bangun dari katil hospital Kerajaan dan memakai pampers mengikut jadual. Cadar dan pakaian pesakit di hospital juga diganti mengikut jadual masa hospital. Soalannya setiap kali masuk fardu solat pesakit boleh mengambil wuduk menggunakan spray air cuma yang menjadi masalah kebersihan diri tidak mampu menukar pampers sendiri dan kebersihan dibersihkan oleh petugas atau jururawat hanya mengikut jadual juga kebersihan cadar katil bimbang terkena najis. Walaupun bersih tetapi ada perasaan keraguan tentang kebersihan. Tak mampu nak ke tandas untuk membersihkan diri sendiri. Soalannya ada kah sah solat pesakit. Di hospital pesakit tidak mampu memberi arahan menukar pampers dan cadar setiap kali nak menunaikan solat. Apakah hukum solat bagi pesakit tersebut. Mohon pencerahan dan nasihat Ustaz. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, di dalam mazhab Shafi'i syarat sah solat adalah suci pada diri dan tempat. Suci ini merangkumi suci daripada hadas dan suci daripada najis. Sabda Nabi SAW:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةٌ بِغَيْرِ طُهُورٍ
Maksudnya: Tidak diterima solat tanpa bersuci. (Sahih Muslim)
Menurut panduan solat pesakit yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM, di dalam situasi tersebut pesakit dikira sebagai seorang yang sukar melaksanakan solat dalam keadaan biasa adalah boleh menjamakkan solat secara jamak taqdim atau ta'khir secara sempurna dan tidak boleh diqasarkan. Justeru, mengikut situasi yang puan ceritakan, perlu kepada pesakit tersebut memastikan dirinya suci terlebih dahulu dari najis seperti najis di dalam pampers barulah dia dapat berwuduk dan melaksanakan solat secara jamak dalam keadaan sah. Solat jenis ini adalah amat bersesuaian bagi orang yg keuzuran dan dalam keadaan yang sukar sehingga sesetengahnya perlu menukar pampers setiap kali solat. Namun begitu, sekiranya dalam keadaan yang lebih sukar; tidak dapat menukarkan pampers yang mengandungi najis sehingga keluar waktu solat, maka perlu kepada pesakit tersebut solat untuk menghormati waktu walaupun menangung najis dan perlu digantikan semula solat tersebut setelah pesakit berada dalam keadaan suci dari najis. Adapun perasan was-was yang berlaku perlu dielakkan kerana was-was itu datangnya dari bisikan syaitan dan puan perlu yakin bahawa jika tidak nampak padanya kesan dan ain (jisim) najis maka hukumnya dikira sebagai suci.
Sekian, terima kasih.