Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya pernah sekolah asrama 5 tahun lalu. Saya pernah mengambil baju dan pakaian yang dikumpulkan di dobi asrama. Pekerja asrama akan mengumpulkan pakaian yang mereka jumpai dan tidak mengetahui siapa pemiliknya. Sekarang saya sudah insaf dan ingin bertaubat. Apakah hukum saya mengambil pakaian tersebut dan bagaimana cara saya mengembalikannya.
Jawapan
Barangan yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya disebut sebagai harta luqatah. Berkenaan masalah luqatah, Zaid bin Khalid r.a. meriwayatkan bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: “Kenalilah ikatan atau bungkusannya, kemudian umumkan selama setahun, jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya.” (Riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan bahawa pemilikan harta luqatah adalah masih kekal ke atas pemiliknya, dan orang yang menjumpainya perlu menghebahkannya sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun. Dia boleh untuk menjaganya secara fizikal atau menyimpan nilainya sekiranya dijual. Jika diketahui pemilknya dan pemilknya minta untuk dikembalikan barangan atau nilai tersebut, maka ia tetap perlu dikembalikan.
Baju yang dikumpulkan di dobi asrama dijumpai di kawasan asrama dan merupakan harta luqatah.
Bagi situasi ini, encik perlu hebahkan sekurang-kurangnya setahun kepada mana-mana pihak berkenaan untuk mencari pemilik pakian-pakaian tersebut. Sekiranya masih tidak dijumpai pemiliknya, maka encik boleh memanfaatkannya dengan memakainya. Namun, jika pemilliknya tiba-tiba datang untuk menuntut kembali, maka encik perlu mengembalikan pakaian tersebut atau nilai yang sama kepada pemiliknya. Selain itu, memandangkan peristiwa ini sudah lama dan kemungkinan untuk bertemu dengan pemilik asal itu tipis, encik juga boleh bersedekah dengan nilai barang tersebut dan berniat agar pahala itu untuk pemilik asal barang tersebut.
Sekian, terima kasih.