Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ust/ustzh..
Sy ingin bertanya.. Baru2 ini sy mengerjakan umrah.. Niat miqat di atas kapal terbang. Ketika sampai dihotel, kami dibenarkan berehat sebentar.. Sy mandi, kemudian sy memakai deodorant jenama Amway. Dlm pikir sy ketika itu "boleh pakai deodorant dlm ihram". Ketika melakukan tawaf, baru sy teringat yg x boleh memakai deodorant.. Yg boleh tu sebelum niat ihram.. Kemudian sy ada bertanya dgn agen yg menjual deodorant ini, beliau mengatakan ketika beliau membuat umrah mutawwif nya mengatakan boleh memakai deodorant tersebut sbb bau x kuat. Jd sy tidak membayar dam. Namun sehingga hari ini hati sy tidak tenteram.. Betul ke tidak perlu membayar dam? Betul ke salah ni? Boleh ust tolong berikan penjelasan. Kalau perlu bayar dam, bolehkan sy mengirim pada yg sesiapa yg ingin mengerjakan umrah? Sekian, terima kasih.
Jawapan
Penggunaan sesuatu yang dinggap sebagai pewangi dengan tujuan berwangi-wangian walaupun baunya kuat atau tidak secara umumnya adalah tidak dibolehkan ketika ihram. Ini kerana memakai wangi-wangian termasuk dalam perkara yang haram dilakukan ketika seseorang berada dalam ihram. Jika dilakukan dengan sengaja, maka dia perlu membayar dam. Adapun jika tidak dilakukan dengan sengaja seperti terlupa, maka tidak dikenakan dam. Jika dilakukan dalam keadaan terlupa atau pun tidak tahu, maka diamaafkan.
Akan tetapi, sekiranya dia sudah sedar atau sudah tahu tentang wangian yang wangian yang dipakainya ketika dia sedang ihram, maka dia perlu segera membuangnya. Jika tidak dibuang dengan kadar segera, apatah lagi jika dibiarkan sehingga selesai ihram, maka dia perlu membayar dam
Justeru, berkaitan soalan di atas, cik perlu membayar dam kerana bahan fizikal atau kesannya tidak dihilangkan dengan segera ketika dalam ihram ketika cik tahu bahawa ia tidak dibolehkan. Cik boleh mewakilkan kepada pihak Tabung Haji mahupun individu yang dipercayai untuk membayarkan dam tersebut bagi pihak cik.
Sekian, terima kasih.