BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Jika saya selesai haid selama 15 hari, kemudian bersuci 4 hari, kemudian datang balik darah berwarna hitam pekat. Adakah itu dikira haid baru atau istihadah? Adakah solat dan puasa saya sah? Jika haid tersebut tidak berhenti selama beberapa bulan dan darahnya berwarna hitam pekat. Adakah tidak boleh solat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Darah yang cukup sehari semalam dan tidak melebihi 15 hari 15 malam, ia keluar dalam waktu yang boleh didatangi haid (Imkan al-haid) serta tempoh minimum suci adalah 15 hari 15 malam. Darah yang datang semula selepas tempoh minimum suci 15 hari 15 malam dihukumkan sebagai kitaran haid yang baru. Jika tidak mencukupi tempoh tersebut, ia dihukumkan sebagai darah istihadhah kerana ia memerlukan kepada penyempurnaan baki suci. Semasa sedang istihadhah, hendaklah seseorang itu berpuasa (bulan Ramadhan) dan solat sebagaimana wanita istihadhah. 

Adapun jika darah yang keluar selama beberapa bulan dan mempunyai satu sifat darah sahaja, berlakunya percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Ia boleh ditentukan dengan dua kaedah:

  1. Kaedah Tamyiz: Kaedah membezakan jenis darah. Ia boleh dibuat jika mampu untuk membezakan sifat darah yang keluar sama ada bersifat darah kuat atau lemah. Darah kuat dihukumkan sebagai haid manakala darah lemah dihukumkan sebagai istihadhah. Namun, jika situasi tidak dapat membezakan sifat darah atau darah hanya satu sifat, ia boleh ditentukan dengan kaedah seterusnya

  2. Kaedah Adat: Kaedah adat adalah dengan melihat kepada adat kebiasaan haid seseorang wanita dengan merujuk kepada adat yang paling hampir iaitu kitaran haid bulan sebelumnya. Jika adat haidnya 7 hari, 23 hari suci..Maka boleh dihukumkan haid pada bulan yang darah tidak berhenti adalah 7 hari haid dan 23 hari suci mengikut adat bulan sebelumnya. 

Apabila telah ditentukan jenis darah, semasa berada dalam tempoh yang dihukumkan sebagai haid tidak dibolehkan untuk solat dan puasa. Manakala semasa berada dalam tempoh yang dihukumkan sebagai istihadhah hendaklah dia menunaikan solat dan puasa. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 1

message user image