BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam, saya ada pertanyaan mengenai najis hukmiyah. Saya telah membaca beberapa sumber tetapi saya tetak keliru.

Najis hukmiyah: Najis yang telah hilang ain-nya, iaitu tanda-tanda fizikal seperti bau, warna dan rasa.

Contoh situasi: Saya melihat ada kucing yang membuang air besar di lantai dapur. Setelah itu, ibu saya hanya membersihkan najis dengan menggunakan tisu basah sehingga saya tidak dapat lihat sebarang tanda-tanda fizikal. Tiada air yang dialirkan dia kawasan lantai tersebut. 

Soalan: Jika saya pijak kawasan itu dengan kaki yang basah adakah najis PASTI berpindah? Atau hanya dikira berpindah sekiranya ada tanda-tanda fizikal yang dapat dilihat?

Saya sudah baca kedua-dua sumber ini tetapi saya masih keliru:
1) https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=4058 > artikel ini sepertinya mengatakan "Sebaliknya sekiranya tapak kaki itu basah, maka ia boleh menyebabkan perpindahan najis". Saya beranggapan bahawa najis hanya akan dikira berpindah sekiranya ada tanda-tanda fizikal

2) https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=4209 > tetapi artikel ini pula mengatakan "Kaki yang basah terpijak lantai yang DIYAKINI terdapat najis hukmi (seperti air kencing yang telah kering) mengakibatkan tapak kaki tersebut menjadi mutanajjis atau terkena najis. Apabila tapak kaki tersebut memijak tempat lain, maka lantai tempat di mana tapak kaki itu memijak akan turut menjadi bernajis". Saya beranggapan bahawa najis PASTI dikira berpindah asalkan ada kelembapan, walaupun tiada tanda-tanda fizikal najis

Oleh itu, apakah jawapan sebenarnya? 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Najis hukmi adalah najis yang telah hilang kesan ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Ain najis itu hilang sama ada dengan sendirinya seperti air kencing yang telah kering, atau ain najis itu dihilangkan dengan menggunakan kain atau tisu sehingga hilang kesan warna, bau atau rasa, akan tetapi tidak dialirkan air mutlak ke atasnya. Najis hukmi tidak memindahkan najis ke tempat lain sekiranya bersentuhan dengannya, sama ada dalam keadaan basah atau kering, kerana tidak ada ain najis padanya. Walau bagaimanapun, tempat yang terdapat najis hukmi dianggap tidak suci dan tidak boleh didirikan solat di atasnya. Untuk menghilangkan najis hukmi tersebut, tempat itu perlu dialirkan air mutlak ke atasnya. Air mutlak yang mengalir ke atasnya tidak menjadi air mutanajjis, sebaliknya menjadi air mustakmal.

Merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1) Kaki yang basah terpijak najis hukmi yang telah kering tidak mengakibatkan tapak kaki menjadi bernajis dan tidak menjadikan tapak kasut sebelah dalam kasut menjadi bernajis.

2) Kaki yang kering bersentuhan dengan najis hukmi yang kering juga tidak mengakibatkan kaki tersebut bernajis. Oleh itu, tapak kasut sebelah dalam yang dipijak turut tidak bernajis.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 1

message user image