Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti. Semoga sihat selalu.. Mohon jawab soalan saya. Jika adik beradik telah bersetuju atas belas ehsan untuk diserahkan rumah pusaka ke atas adik perempuan dan menukar nama pemiliknya. Lalu setelah itu si adik meninggal dunia, dan meninggalkan seorang anak lelaki yang telah dewasa. Adakah rumah tersebut milik anak si mati atau masih milik adik beradik? Bolehkah adik beradik menuntut balik rumah itu dan menghalau keluar anak si mati? Terima kasih telah sudi menjawab soalan saya.
Jawapan
Hukum Faraid adalah peraturan dalam hukum syarak yang mengaturkan pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang. Hukum Faraid adalah satu aspek penting dalam hukum keluarga Islam dan ia merupakan syariat dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 7:
Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).
Sekiranya telah dipersetujui dalam kalangan waris untuk menyerahkan rumah pusaka kepada adik perempuan dan menukarkan nama pemilik kepada nama beliau, maka pemilikan rumah itu berpindah menjadi milik dan harta adik perempuan tersebut. Selepas kematian adik perempuan tersebut, maka rumah tersebut menjadi harta pusaka arwah yang berhak diwarisi oleh ahli-ahli waris yang berhak.
Memandangkan arwah adik perempuan mempunyai anak lelaki, maka anak lelaki merupakan asobah, dan menjadi penghalang kepada adik-beradik arwah daripada mendapat harta pusaka.
Oleh itu, menuntut semula rumah tersebut apatahlagi menghalau warisnya adalah perbuatan yang tidak wajar. Selesaikan secara hikmah dan jangan disebabkan harta habis berantakan hubungan kekeluargaan. Boleh merujuk Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor untuk mendapatkan kepastian.
Sekian, terima kasih.
Ulasan:
Sekiranya telah dipersetujui dalam kalangan waris untuk menyerahkan rumah pusaka kepada adik perempuan dan menukarkan nama pemilik kepada nama beliau, maka pemilikan rumah itu berpindah menjadi milik dan harta adik perempuan tersebut. Selepas kematian adik perempuan tersebut, maka rumah tersebut menjadi harta pusaka arwah yang berhak diwarisi oleh ahli-ahli waris yang berhak.
Memandangkan arwah adik perempuan mempunyai anak lelaki, maka anak lelaki merupakan asobah, dan menjadi penghalang kepada adik-beradik arwah daripada mendapat harta pusaka.
Namun untuk menuntut semula rumah tersebut apatahlagi menghalau warisnya adalah perbuatan yang tidak wajar. Selesaikan secara hikmah dan jangan disebabkan harta habis berantakan hubungan kekeluargaan. Boleh merujuk Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor untuk mendapatkan kepastian.