BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Saya ingin bertanya berkaitan ibadah puasa bulan ramadhan. Ketika di Tingkatan 2 (2012) saya telah ⁠melakukan perbuatan mengeluarkan air mani dengan sengaja pada siang hari di bulan ramadhan untuk beberapa hari. Pada waktu itu saya langsung tidak mengetahui bahawa perbuatan ini boleh mebatalkan puasa, oleh itu, selepas melakukan perbuatan tersebut, saya meneruskan puasa seperti biasa sehingga waktu berbuka pusa tiba. Pada tahun yang berikutnya di Tingkatan 3 (2013) sebulan sebelum bulan ramadhan tiba, saya diberitahu bahawa perbuatan mengeluarkan air mani (onani) dengan sengaja adalah salah dan membatalkan puasa serta-merta. 

Seterusnya, saya berazam untuk meninggalkan perbuatan ini dan tidak mahu mengulanginya lagi. Jadi persoalan pertama saya, adakah saya perlu menggantikan puasa yang terbatal pada tahun 2012 itu kerana pada waktu itu saya tidak mengetahui bahawa perbuatan  mengeluarkan air mani (onani) dengan sengaja itu membatalkan puasa. Jika Ya, adakah saya juga perlu membayar fidyah?

Soalan kedua saya pula, berapakah bilangan hari yang saya perlu ganti (setelah membayar fidyah) kerana pada waktu ini, saya sudah tidak ingat berapakah bilnangan hari puasa saya terbatal. Yang saya masih ingat adalah melebihi 2 hari tetapi tidak melebihi 30 hari. Adakah lebih baik dan jelas jika saya mengnatikan puasa selama 30 hari (1 bulan) terus? 

Terima kasih di atas pertimbangan dan ruang masa yang diberikan untuk pertanyaan ini.

Sekian,

 


message user image

Jawapan  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, melakukan perbuatan onani di siang Ramadhan adalah membatalkan puasa serta berdosa. Tuan hanya perlu menggantikan jumlah hari puasa yang ditinggalkan serta perlu membayar fidyah kerana melambatkan ganti puasa hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan). Berdasarkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor Bil. 1/2001 pada 16 Januari 2001, memutuskan bahawa fidyah boleh dibayar dengan dua cara:

i. Gandakan fidyah dan kafarah mengikut tahun.

ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kafarah.

Ini bermakna umat Islam boleh memilih cara yang bersesuaian mengikut keupayaan masing-masing, berganda atau tidak berganda.

Adapun seseorang yang berada dalam keadaan ragu tentang bilangan sesuatu ibadah seperti solat atau puasa yang ditinggalkan, maka dia perlu memilih jumlah yang lebih diyakini. Hal ini berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi SAW ketika baginda menasihati individu yang keliru tentang bilangan rakaat dalam solat. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلاَثًا أَمْ أَرْبَعًا فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ

Maksudnya: Apabila seseorang di antara kamu ragu dalam solatnya, lalu tidak pasti sama ada telah solat tiga atau empat rakaat, maka hendaklah dia tinggalkan keraguan itu dan berpegang kepada apa yang dia yakin. (Riwayat Muslim)

Melalui hadis ini, dapat difahami bahawa dalam keadaan ragu, seseorang dianjurkan untuk memilih perkara yang lebih pasti dan kukuh keyakinannya. Sebagai contoh, jika seseorang tidak pasti sama ada dia perlu menggantikan puasa sebanyak 10 atau 12 hari, maka eloklah dia memilih angka 12 hari kerana itu lebih meyakinkan dan menghilangkan keraguan. Oleh itu, diharuskan membuat anggaran jumlah hari yang ditinggalkan adalah 30 hari.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image