Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya nak tanya berkaitan kiblat, saya dari pahang menyewa di segamat atas urusan latihan mengajar, dalam bilik sewa saya dah terletak penunjuk arah kiblat dan saya hanya solat ikut penunjuk tersebut, kemudian satu hari saya ternampak bilik depan saya kiblat dia macam lain arah, jadi saya pun terdetik nak check arah kiblat menggunakan apps qibla finder, dan ternyata arah kiblat bilik saya tu jauh tersasar, persoalannya adakah solat saya sah? atau adakah saya kena qadha semua solat saya sepanjang saya menyewa, atau tidak? sebab saya langsung tidak ragu ragu kerana ada nya penunjuk kiblat tersebut tetapi ternyata penunjuk arah itu salah arah kiblat
Jawapan
Merujuk kepada soalan saudari, solat yang dilakukan sebelum menyedari kesilapan arah kiblat adalah sah dan tidak perlu diqadha. Ini kerana pada waktu itu, anda bersolat berdasarkan penunjuk arah kiblat yang ada dalam bilik, dan anda yakin serta tidak meragui arah tersebut. Dalam Islam, jika seseorang bersolat dengan ijtihad atau sangkaan kuat terhadap arah kiblat seperti berpandukan tanda atau maklumat yang dipercayai, maka solatnya tetap sah walaupun kemudian diketahui arah tersebut salah. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh iaitu:
"“Kesilapan dalam ijtihad tidak dikira (sebagai dosa atau menjejaskan kesahihan amal)"
Mafhumnya, apabila seorang yang layak atau mempunyai asas untuk berijtihad telah berusaha mencari kebenaran dan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang ada (seperti arah kiblat), maka jika berlaku kesilapan, ia tidak menjejaskan ibadat yang dilakukan.
Sehubungan itu, tidak dikira kesilapan dalam ijtihad jika ia dilakukan dengan usaha dan tanpa unsur sengaja. Oleh itu, saudari hanya perlu teruskan solat mengikut arah kiblat yang betul selepas mengetahuinya, dan tidak perlu menggantikan solat-solat yang terdahulu.