BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt.

Saya bernazar untuk korban seekor kambing dan seekor lembu.

 

Soalan, bolehkah saya bahagikan lembu tersebut kepada 7 bahagian? Contohnya, tahun ini saya korban wajib 2 bahagian. Tahun hadapan lagi dua. Dan seterusnya.

 

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, nazar dari sudut istilah ialah apa yang disebutkan oleh para ulama’ iaitu:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. 

Begitu juga, Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk menunaikan nazar yang telah dilafazkan sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 29:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Oleh itu, mengikut situasi yang tuan terangkan, wajib bagi seorang yang bernazar melaksanakan sebagaimana yang dinazarkan tersebut. Sebagai contoh, jika tuan bernazar untuk melaksanakan korban seekor kambing dan seekor lembu, maka wajib bagi tuan berkorban dengan seekor kambing dan lembu tersebut dengan tidak membahagikan lembu tersebut kepada 7 bahagian seperti yang dicadangkan kerana yang dita'yinkan (ditujukan) dalam nazar tersebut adalah haiwan tersebut. Namun, sekiranya terdapat kekangan, tuan boleh berkorban di luar negara yang menawarkan harga yang rendah berbanding dalam negara. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 3

message user image