Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum Tuan/Puan, saya ingin bertanya berkaitan pemberian zakat kepada yang bukan Islam. Soalan ini saya isukan kerana di media sosial terdapat banyak cacian dan makian terhadapayang bukan muslim hanya kerana bertanya "adakah saya layak untuk dapatkan batuan zakat?". Saya telah membuat carian di internet berkaitan soalan saya ini. Tetapi terlampau banyak pendapat dimana ada yang berkata tidak boleh dan ada yang berkata dibolehkan memberi zakat kepada bukan Islam. Di laman sesawang Jabatan Mufti Perlis berkata dibolekan melalui pemberian zakat muallaf. Tetapi laman sesawang yang lain berkata tidak boleh kerana zakat dibayar oleh umat islam, dana hanya umat islam sahaja yang layak mendapatkan zakat. Jadi ini menjadi satu kekeliruan bagi saya. Saya berharap pihak Tuan/Puan memberikan penerangan yang dapat saya jadikan panduan.
Jawapan
Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Pengertian zakat menurut bahasa adalah merupakan kata terbitan dari kalimah ( زَكَى ) bermaksud suci dan subur, termasuklah bersih, berkat, berkembang, dan baik kepada harta zakat, pembayar zakat, dan penerima zakat. Manakala pengertian dari segi syarak, zakat adalah mengeluarkan harta tertentu dengan kadar tertentu mengikut syarat-syarat tertentu untuk diagihkan kepada golongan tertentu. Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 60 :
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Merujuk kepada soalan, wang zakat tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, agihan zakat kepada bukan Islam adalah diharuskan atas nama Asnaf Muallaf. Menurut Fatwa Negeri Selangor 2013, orang bukan Islam harus menerima agihan zakat (dengan syarat mempunyai kecenderungan dan boleh dijinakkan hatinya kepada Islam berdasarkan kepada siasah dan maslahah secara hikmah bagi tujuan dakwah).
Sekian, terima kasih.