BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Bolehkah orang memberi hutang menjadikan hutangnya kepada yang berhutang sebagai zakat perniagaannya apabila orang yang berhutang tidak dapat menjelaskan hutangnya 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين، أما بعد

Jumhur ulama’ mengatakan bahawa hukum membayar zakat dengan menghalalkan hutang terhadap seseorang yang berada di dalam kesusahan tidak dibolehkan dan tidak sah. Hal ini berdasarkan apa yang disebut oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, bahawa:

إِذَا كَانَ لِرَجُلٍ عَلَى مُعْسِرٍ دَيْنٌ فَأَرَادَ أَن يَجْعَلَهُ عَن زَكَاتِهِ... فَوَجْهَان: أَصَحُّهُمَا: لَا يُجْزِئُهُ وَهُوَ مَذْهَب أَحْمَد وَأَبِي حَنِيفَةَ لِأَنَّ الزَّكَاةَ في ذمته فلا يبرأ إلا بإقباضها

Maksudnya: Jika sekiranya seorang pemiutang yang mempunyai hutang ke atas seseorang yang berada dalam kesusahan dan dia ingin menjadikan hutang yang diberikannya tersebut sebagai zakat.. maka terdapat dua pandangan (dalam mazhab al-Syafie), pandangan yang paling sahih ialah tidak sah. Ini juga pandangan dari mazhab Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Imam Abu Hanifah. Hal ini kerana zakat tersebut masih dalam tanggungan si pemiutang dan tidak terlepas tanggungan tersebut kecuali selepas diterima oleh si penerimanya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6:210-211)

Dinyatakan dalam kitab Nihayat al-Zayn karya Nawawi al-Bantani:

وَلَو كَانَ لَهُ عَلَيْهِ دين فَقَالَ جعلته عَن زكاتي لم يُجزئهُ على الصَّحِيح حَتَّى يقبضهُ ثمَّ يردهُ إِلَيْهِ

Maksudnya: Sekiranya seseorang berhutang dengan orang lain, lalu pemberi hutang mengatakan: aku jadikan hutang tersebut sebagai zakatku, maka ia tidak memadai mengikut pandangan yang sahih hinggalah dia menerima duit hutang itu dan menyerahkannya kepada orang yang berhutang.

Justeru, hutang yang sedia ada tidak boleh diubah kepada zakat semata-mata dengan mengubah niat, tetapi perlu juga kepada berlakunya penyerahan baru dari pemberi hutang kepada orang yang berhutang atau wakilnya daripada pihak pemerintah seperti Lembaga Zakat Selangor.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 1

message user image