Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SOALAN PERTAMA
Assalamualaikum Ustaz.
Untuk pengetahuan Ustaz saya telah membayar fidyah dengan memilih bayaran tidak berganda mengikut FATWA yang boleh memilih 2 kaedah.
saya ada meninggalkan puasa disebabkan keuzuran dan tidak berganti lagi sehingga sekarang bermula dari sekolah lagi (anggaran 20 tahun)
Tetapi sekarang saya telah sedar akan perkara wajib ini dan berusaha untuk berpuasa ganti selgi masih mampu insyallah.
Soalan saya: Adakah fidyah saya telah selesai
Kiraan saya: 7 hari x 20 tahun (140 hari) x RM2 = rm280
SOALAN KEDUA.
Saya adalah seorang isteri tetapi saya telah melakukan satu kesalahan dan dosa besar terhadap suami saya kerana telah berhubungan dengan lelaki lain.
Tetapi kini saya telah sedar dan tidak melakukan lagi dan saya insaf dengan perkara yang saya buat. Saya telah memohon maaf dengan suami tetapi tidak terangkan
secara terperinci apa perkaranya.
Soalan saya: Adakah saya perlu berterus terang dengan suami kerana saya sedar ada perkara buruk akan berlaku sekiranya saya berterus terang.
Kerana saya berasa takut sekiranya saya tidak diampunkan oleh ALLAH.
Semoga persoalan saya terjawab.
Sekian terimakasih Ustaz.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
1. Sekiranya bilangan hari puasa yang ditinggalkan adalah 7 hari, pembayaran fidyah yang dinyatakan adalah sah dan telah selesai kerana mengikut kaedah pembayaran tanpa gandaan berdasarkan fatwa negeri selangor.
2. Dalam hal ini, Islam memberi garis panduan yang amat berhikmah. Apabila seseorang melakukan dosa, maka perkara paling utama yang perlu dilakukan ialah bertaubat dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Taubat yang diterima di sisi Allah SWT ialah taubat yang disertai dengan penyesalan yang mendalam, meninggalkan perbuatan dosa tersebut secara total, dan berazam untuk tidak kembali melakukannya. Jika ketiga-tiga syarat ini dipenuhi, maka seseorang boleh mengharapkan keampunan Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Az-Zumar ayat ke-53:
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Justeru, seseorang yang telah bertaubat dengan sebenar-benarnya tidak wajib mendedahkan dosanya kepada manusia lain termasuk kepada pasangan hidupnya sekiranya pendedahan tersebut akan membawa kepada kemudaratan yang lebih besar. Perkara yang menjadi keutamaan ialah meneruskan kehidupan sebagai isteri yang setia dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT serta suami.Oleh itu perbanyakkanlah amal soleh, berdoa dan beristighfar kerana kebaikan-kebaikan yang dilakukan mampu menghapuskan kejahatan yang lalu.
Sekian, terima kasih.