Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
ASSALAMUALAIKUM..
SAYA ADA SEDIKIT PERTANYAAN..UNTUK ISTERI DAN IBU YANG KEMATIAN SUAMI ZAKAT FITRAH UNTUK ANAK2 YANG BELUM BEKERJA
DAN IBU YANG KEMATIAN SUAMI..MANAKALA ZAKAT FITRAH UNTUK ANAK YANG SUDAH BEKERJA TETAPI MASIH BELUM
BERKAHWIN DAN TINGGAL BERSAMA IBU.SIAPAKAH YANG DI PERTANGGUNGJAWABKAN UNTUK MEMBAYAR ZAKAT FITRAH SEMUA INDIVIDU INI.
SEKIAN TERIMA KASIH.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Kewajipan membayar zakat fitrah bergantung kepada syarat-syaratnya iaitu Islam, anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari dan memiliki lebihan harta untuk dirinya dan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya. Oleh itu, tanggungjawab bagi setiap individu Islam apabila cukup syarat seperti yang dinyatakan di atas, maka dia wajib untuk menunaikan zakat fitrah bagi dirinya sendiri serta tanggungannya yang wajib dinafkahi seperti anak yang masih kecil dan isteri.
Berhubung kewajipan membayar zakat fitrah bagi seseorang isteri yang kematian suami dan mempunyai tanggungan boleh dijelaskan sebagaimana berikut:
1. Ibu yang Kematian Suami (Balu)
Seorang balu wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri jika memenuhi syarat wajib zakar fitrah. Sekiranya dia tidak memenuhi syarat wajib, maka zakat tersebut boleh dilunaskan oleh anak-anaknya yang berkemampuan dengan syarat telah mendapatkan keizinan bagi pihak dirinya (ibu) terlebih dahulu.
2. Anak-anak yang Belum Bekerja
Bagi anak-anak yang masih kecil atau belum bekerja, zakat fitrah mereka ditanggung oleh penjaga iaitu ibu sekiranya memenuhi syarat. Sekiranya tidak memenuhi syarat, maka tidak wajib zakat.
3. Anak yang Sudah Bekerja tetapi Masih Bujang dan Tinggal Bersama Ibu
Anak yang telah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri wajib membayar zakat fitrah untuk dirinya sendiri walaupun masih tinggal bersama ibu dan belum berkahwin.
Sekian, terima kasih.