Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada masalah kulit kronik akibat alergik dan seringkali menggaru pada waktu malam termasuk garu di sekitar kemaluan tanpa disedari. Saya sedar kerana apabila pagi hari, jikalau sedang haid, tangan akan ada kesan darah kering. Persoalannya adalah, saya tidak sedar di mana sahaja tangan saya yang bernajis itu sentuh katil dan tilam, dan tiada kesan zahir yang terlihat pada tilam. Kalau saya duduk berehat di atas bantal dan tilam yang sama, apakah hukumnya dibolehkan?. Saya juga risau jika orang lain yang duduk di atas tempat tidur saya sambil bertelekung sebelum mereka menunaikan solat akan turut menanggung akibat najis yang saya tidak dapat kawal. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Sesuatu itu dihukumkan najis berdasarkan yang zahir (luaran). Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.
(Rujuk Tafsir al-Maraghi, 7/16)
Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa:
Maksudnya: “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak).
(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/600)
Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Ini dikukuhkan dengan firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 36:
Maksudnya: “Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak dapat menandingi/mengatasi kebenaran walau sedikit pun”.
Ini dikuatkan dengan kaedah fiqh yang berbunyi:
Bermaksud: “Pada asasnya, (hukum) sesuatu itu kekal mengikut keadaan (hukum) asalnya”.
(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Manhaj, 135/4)
Maka berdasarkan soalan, selagi mana darah tidak nampak secara zahir pada bantal atau tilam itu maka, tidak boleh dihukumkan bantal dan tilam itu terkena najis. Begitu juga telekung yang menyentuh kawasan yang tidak nampak secara zahir hanya syak terdapat najis darah maka, tidak menjadikan telekungnya itu bernajis.
Sekian, terima kasih.