Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammu alakom Ust
Ust saya tidak dapat rasa dan kawal buang air besar dan kecil sentiasa pakai diapers, lemah dan sakit untuk berjalan.
Apabila saya buat solat jamak, saya perlu kah sentiasa periksa diaper setelah selesai solat pertama dan lihat ada najis atau tidak untuk meneruskan solat kedua dan menukar lagi diaper sekiranya ada najis?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, bagi mereka yang mengalami masalah seperti yang dinyatakan, setelah dilapik dengan diapers atau kain atau balutan, sekiranya dia terkucil ketika berwudhuk atau solat, maka tuan hanya boleh melakukan solat fardhu untuk satu kali sahaja. Namun, bagi solat sunat, tiada masalah untuk dilakukan seberapa banyak solat sunat sekalipun.
Sehubungan itu, atas sebab tidak dapat rasa dan kawal samada buang air kecil atau besar, maka tuan dikategorikan sebagai daimul hadas, iaitu merujuk kepada seseorang yang sentiasa dalam keadaan berhadas, iaitu tidak dapat menahan diri daripada keluar sesuatu yang membatalkan wuduk. Ini termasuklah keadaan seperti kencing tidak lawas, istihadah (bagi wanita), keputihan yang berterusan, atau angin yang keluar secara berterusan.
Oleh itu, bagi orang yang sentiasa berhadas menjamakkan solat adalah harus kerana ia diqiaskan dengan masalah tayammum dengan syarat mengambil wuduk sebanyak dua kali. Sebagai contoh, wuduk yang pertama bagi solat Zohor dan wuduk yang kedua antara selang masa sebelum solat Asar secara berturutan. Adapun senggang masa antara dua solat tersebut tidak memudaratkan kerana ia dikira sebagai maslahat solat dan diringankan dalam perkara tersebut. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi seperti;
Maksudnya: Majoriti ashab (Shafi’iyyah) ini berpendapat bahawa harus menghimpunkan dua solat dengan satu tayammum. Mereka juga berkata: Tidak mengapa adanya senggang masa antara kedua-dua solat tersebut disebabkan oleh usaha mencari air dan melakukan tayammum.
Bagi maklumat yang terperinci, tuan boleh layari link yang diberikan : https://www.muftiselangor.gov.my/2025/06/03/88-taudhih-al-hukmi-hukum-wuduk-bagi-pesakit-daimul-hadath/
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.