Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti, sy keliru tentang solat jamak..sekiranya kita dari selangor dan menetap di teluk intan selama 2 minggu boleh ke solat jamak untuk 3 hari terawal kemudian solat macam biasa untuk hari seterusnya kerana sebahagian kawan sy berbuat sedemikian??
Jawapan
Solat jamak dan qasar adalah di antara rukhsah (keringanan) yang diberikan kepada orang yang bermusafir. Berdasarkan persoalan di atas, tidak dibenarkan untuk melakukan jamak dan qasar setelah tiba ke destinasi kerana telah diniatkan untuk menetap di sana lebih dari empat hari tidak termasuk hari masuk dan keluar. Ibn Hajar al-Haytami mengatakan dalam Tuhfat al-Muhtaj:
Maksudnya: Seseorang musafir yang berniat untuk menetap di suatu kawasan tanpa tempoh tertentu atau selama empat hari di tempat yang telah ditentukan terlebih dahulu sebelum tiba ke destinasi, maka safarnya akan terhenti setelah dia tiba ke tempat tersebut.
Sekian, terima kasih.