Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum memakai gelang pandora yang mempunyai loket seperti rama-rama, lebah dan juga kartun hello kitty? Adakah sah jika dibawa solat?
Jawapan
Hukum memakai barang kemas atau perhiasan yang terdapat ukiran atau gambar makhluk bernyawa adalah dilarang. Islam melarang umatnya memakai perhiasan yang mempunyai ukiran haiwan atau makhluk yang bernyawa. Oleh itu, dilarang untuk memakai gelang yang ada gambar atau ukiran haiwan seperti rama-rama atau lebah.
Akan tetapi, berbeza pula dengan gambar karakter animasi tertentu. Memakai perhiasan yang ada ukiran atau gambar karakter animasi tertentu adalah dibenarkan selagi tiada unsur pengabdian dan penghormatan kepada perhiasan tersebut dan juga gambar tersebut mestilah sopan.
Perhiasan seperti ini tidak membatalkan solat sekiranya ia tidak dibuat menggunakan bahan yang najis dan tidak mengandungi unsur syirik atau kepercayaan khurafat. Solat adalah sah, sebaiknya pakailah perhiasan yang tidak mempunyai ukiran-ukiran haiwan bagi mengelakkan diri dari terjebak dalam perkara yang diharamkan.
Sekian, terima kasih.