Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya seorang penghantar makanan, saya hendak bertanya sewaktu saya sedang berkerja sebagai penghantar makanan saya dapat order dari cafe yang tidak halal, saya semak order tersebut tetapi tidak detail order tersebut dan dia hanya menyatakan makanan tersebut adalah American breakfast yang selepas saya menghantar order tersebut baru saya check dalam American breakfast itu ada bacon dan kami sebagai rider ada beg untuk meletakan makan tersebut jadi beg itu boleh memerangkap haba dan sewaktu saya mahu ambil bungkusan tersebut saya merasakan ada wap dia di plastik bungkusan itu adakah tangan saya itu terkena najis? Saya ada tengok ceramah tentang perkara itu, adakah najis jika seseorang itu terkena asap orang yang memasak babi tetapi saya tidak dapat kepastian tentang apa yang saya hadapi.
Wap yang saya merasakan memalui tangan saya itu seperti seseorang yang membeli pisang goreng bungkus yang masih panas.
Mintak mohon penjelasan....
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, perlu difahami bahawa sertu dari najis berat (seperti najis, daging babi atau apa-apa yang secara langsung dihasilkan daripada babi) hanya diperlukan apabila terdapat sentuhan secara langsung. Sebagai contoh, jika daging babi terkena pakaian atau kulit, barulah seseorang itu perlu melakukan proses penyucian (sertu) iaitu mencuci dengan air mutlak sebanyak tujuh kali, salah satunya menggunakan air bercampur tanah.
Jika hanya terkena asap atau wap daripada makanan tersebut, maka tidak ada kewajiban untuk mencuci pakaian atau anggota badan secara khusus kerana tiada najis fizikal yang terkena pada tubuh atau pakaian. Dalam fiqh, asap dianggap sebagai unsur yang tidak fizikal, ia hanyalah gas yang terbentuk daripada pembakaran bahan, termasuk daging babi. Oleh kerana ia tidak mempunyai bentuk fizikal atau sisa yang dapat dilihat atau disentuh, maka ia tidak dikira sebagai najis.
Oleh itu, wap yang dirasakan dari makanan yang tidak halal tidak menyebabkan permukaan yang terkena padanya menjadi bernajis. Justeru, tangan atau mana-mana anggota badan yang terkena wap dari makanan yang tidak halal tidak menjadi najis dan tidak perlu disertu.
Sekian, terima kasih.