BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam..

Saya nk tanya hukum utk lelaki,sbnrnye boleh pakai make up ke x yer..

Sbb saya dgr ade yg ckp boleh,ade yg ckp x...

Ada saya dgr ustaz selebriti pun ade yg pakai..

Solat jd x sah,haram,berdosa ape semua..

Saya harap dpt penjelasan yg lebih jelas & mudah fhm..

Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, Islam tidak mengharamkan bagi kaum lelaki dan perempuan berhias pada diri sendiri. Namun, di sana ada batasan yang telah ditetapkan oleh syarak antara haram dan harus iaitu larangan lelaki menyerupai perempuan begitu juga sebaliknya. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ، وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita. (Sahih al-Bukhari).

Dari segi perbahasan fiqh pula, ia bermaksud seorang perempuan yang menyerupai lelaki atau sebaliknya dalam perkara-perkara berikut:

  • Pakaian
  • Perhiasan
  • Percakapan dan suara
  • Gaya berjalan dan gerak badan
  • Mengubah bentuk fizikal badan

Justeru, pemakaian makeup bagi kaum lelaki yang diajukan di dalam soalan tidak dikira sebagai perhiasan yang diharamkan kepada kaum lelaki kerana tujuannya bukan untuk menyerupai perempuan. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat. 

Oleh yang demikian, pemakaian makeup oleh lelaki adalah diharuskan dalam kadar yang sederhana dan berpatutan, tidak bertujuan menyerupai wanita, tidak melampaui batas, digunakan untuk tujuan perawatan atau menutup cela tertentu yang mengaibkan.

Umat Islam disarankan agar sentiasa memelihara fitrah kejadian dan menjauhi sebarang bentuk tasyabbuh (penyerupaan) yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap identiti jantina dalam masyarakat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 1

message user image