BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz. Saya sudah berkahwin selama satu tahun setengah. Saya ada dua soalan yang ingin saya bertanya: 

1. Suami saya ada berkata kepada saya bahawa keluarga dia lebih utama daripada keluarga saya selepas berkahwin. Adakah ini benar mengikut islam? 
 

2. Suami saya hanya menyediakan rumah untuk saya (rumah milik ibu bapa suami jadi tiada bayaran bulanan). Nafkah zahir lain lain tidak diberikan selama perkahwinan. Suami hanya membayar bil internet. Lain-lain perbelanjaan rumah, bil elektrik, bil air, perbelanjaan makan di kedai juga ditanggung saya. Pendapatan saya dua kali ganda lebih daripada suami. Apakah pandangan ustaz mengenai ini nafkah yang diberikan suami. 
 

Harap ustaz dapat menjawab persoalan saya. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan,

1) Islam tidak meletakkan keutamaan sebegitu apabila pasangan telah berkahwin. Suami itu sendiri sebagai ketua keluarga perlu memberi keutamaan kepada pasangannya. Bukan keluarganya. Isteri yang dinikahinya itu telah beralih tanggungjawab dari bapanya kepada suaminya. Keutamaan suamilah untuk menjaga dan memberi nafkah kepada isteri dan anaknya.  

2) Menjadi kewajipan bagi suami untuk menyediakan tempat tinggal kepada isterinya. Rumah yang dimaksudkan termasuklah rumah yang dibeli sendiri atau rumah sewa atau rumah pusaka dan seumpamanya. Berkenaan keperluan dalam rumah tersebut, jika suami hanya mampu membayar bil internet sahaja, maka ia dikira nafkah juga. Suami wajib menanggung perbelanjaan asas lain seperti makan, barangan dapur, pakaian dan keperluan lain dalam rumah tersebut untuk kegunaan seisi keluarga. Suami tetap wajib memberi nafkah kepada isteri walaupun isteri mempunyai pendapatan sendiri. Seandainya suami enggan menyediakan nafkah tersebut, ia boleh dianggap sebagai hutang yang tertunggak.

Namun, jika kewangannya tidak mencukupi, dan isteri pula mempunyai pendapatan yang lebih, jika isteri membelanjakan duitnya sendiri untuk kegunaan bersama sekeluarga ia dikira sebagai sedekah dan mendapatkan ganjarannya dari Allah SWT.

Tidak salah jika berkongsi rezeki untuk keluarga yang dibina dan saling bertolak ansur. Jika wujud ketidaksefahaman tentang nafkah yang diberi, isteri hendaklah berbincang bersama suami.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 3

message user image