Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Berkenaan permohonan wali hakim disebabkan wali enggan, adakah keterangan wali enggan itu diperlukan semasa permohonan untuk wali hakim? Ini kerana, sebelum rakan saya mengenali calon suaminya, ibubapa dia telah lama mengingatkan untuk mengahwini lelaki yang mempunyai nasab yang sama iaitu Syed & Sharifah, dan jika dia mengingkarinya, dia dikira berdosa kerana memutuskan nasab nabi Muhammad SAW. Adakah benar dan rasional pernyataan ibu bapa rakan saya ini? Tambahan pula, jika permohonan wali hakim memerlukan keterangan atau bukti wali enggan, proses perkahwinan yang dirancang akan menjadi rumit kerana mustahil bagi bapanya akan memberi kerjasama walaupun hanya dengan memberi keterangan.
Kedua, calon suami kepada rakan adalah bukan warganegara dan mualaf. Jadi, apakah prosedur tambahan yang perlu dilakukan semasa proses mendaftar perkahwinan? Dimanakah prosedur lengkap untuk proses perkahwinan seperti ini boleh dirujuk supaya proses ini dapat berjalan dengan lancar?
Adakah nasihat tambahan yang tuan/puan boleh berikan untuk situasi seperti ini? Terima kasih
Jawapan
1. Permasalahan perkahwinan antara syarifah dengan bukan Sayyid adalah masalah kafa'ah (كفاءة). Permasalahan kafa'ah berlaku perbezaan pandangan dalam kalangan fuqaha' adakah ia syarat sah nikah atau hanya syarat lazim. Mengikut pandangan jumhur dan juga yang muktamad dalam mazhab Syafi'i, kafa'ah adalah syarat lazim. Sah sahaja nikah seseorang walau tiada kafa'ah. Bahkan terdapat pandangan dalam kalangan sebahagian ulamak mazhab yang tidak menjadikan keturunan atau syarifah sebagai salah satu elemen kafa'ah.
Tidak dinafikan, memang terdapat sebahagian ulama terutama daripada kalangan faqih ahli bait yang berpandangan syarifah tidak boleh bernikah dengan bukan sayyid atas sebab tiada kafa'ah. Walaupun begitu, ia tetap diharuskan jika ditakuti berlaku zina antara kedua-duanya atau berlaku mafsadah yakni keburukan atau kemudaratan. (lihat: Bughyah al-Mustarsyidin).
Kesimpulannya, pernikahan antara syarifah dengan bukan sayyid adalah sah walaupun tiada kafa'ah. Tidaklah berdosa bahkan tidak menjadi kafir atas sebab perkahwinan ini. Permasalahan pernikahan antara syarifah dengan bukan sayyid adalah masalah khilafiyyah. Untuk huraian lengkap boleh rujuk : https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=5446
2. Berkaitan pertanyaan tentang prosedur perkahwinan dengan saudara baru atau muallaf dan apa-apa yang berkaitan dengan proses permohonan berkahwin, saudari boleh merujuk kepada : https://sppim.gov.my/
Terima kasih.