Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam.
Saya ada kemusykilan tentang zihar . Semasa saya nak pakai tudung suami perhatikan saya. Semasa saya sarungkan anak tudung. Dia ada bergurau. Suami cakap. Pakai anak tudung je keluar macam mak (mak suami). Dia gelak. Mak mertua saya memang pakai anak tudung sepanjang masa. Adakah dikira zihar?
Macam mana pula kalau suami ada cakap muka anak memang sama macam muka saya sebab pada masa itu saya tanya muka anak saya macam muka siapa. Adakah dikira zihar?
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bagi situasi pertama yang mana suami berkata : "Pakai anak tudung je keluar macam mak (mak suami)", tidaklah dikategorikan sebagai zihar. Hanya menyamakan pemakaian sedemikian (anak tudung) seperti mak mertua puan sahaja.
Manakala bagi situasi yang kedua pula iaitu suami berkata muka anak memang sama macam muka puan, juga tidaklah dinamakan zihar. Itu adalah jawapan suami terhadap persoalan puan yang bertanyakan kepadanya muka anak macam muka siapa?
Sekian, terima kasih.