Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.,
Saya ingin memohon penjelasan mengenai beberapa perkara yang membabitkan tanggungjawab ibu bapa dalam urusan perkahwinan dan kehidupan rumah tangga. Saya adalah anak tunggal, dan setelah berkahwin, ibu bapa saya membantu membayar keseluruhan kos perkahwinan saya (dari A to Z), tetapi kini saya berdepan dengan satu dilema.
Ibu saya sering mencampuri urusan rumah tangga saya dan mengarahkan saya untuk tinggal bersama mereka, walaupun saya sudah berkeluarga. Dalam masa yang sama, isteri saya mengalami masalah mental dan sering melihat benda ghaib. Kini, isteri saya telah pulang ke rumah mertua saya, dan saya dalam keadaan keliru kerana saya sayang kedua-duanya, ibu saya dan isteri saya.
Soalan saya adalah:
Apakah hukum ibu bapa yang membantu membayar kos perkahwinan dari A to Z dan kemudian merasa berhak untuk campur tangan dalam kehidupan rumah tangga saya?
Adakah ibu bapa berhak untuk mengarahkan saya tinggal bersama mereka, walaupun sudah berkahwin, apatah lagi dalam keadaan isteri saya sedang mengalami masalah mental?
Bagaimana seharusnya saya mengatasi dilema ini, dan apa yang perlu saya lakukan untuk menghormati kedua-dua pihak (ibu dan isteri) tanpa menjejaskan hak dan kewajipan saya terhadap mereka?
Saya berharap mendapatkan nasihat dan panduan dari pihak Jabatan Mufti mengenai isu ini.
Terima kasih.
Wassalam.
Jawapan
1. Ibubapa yang membantu membayar kos perkahwinan anaknya adalah suatu perbuatan yang baik dan terpuji, dan ia merupakan satu amalan yang boleh dikira sebagai sedekah atau sumbangan ibubapa kepada anaknya. Namun ia bukanlah satu lesen untuk membolehkan ibubapa itu campurtangan dalam kehidupan rumahtangga anak mereka. Urusan kehidupan seharian anak dan anak menantu merupakan salah satu perkara yang tidak sepatutnya disertai dengan campur tangan ibubapa pasangan. Campur tangan dalam urusan begini sebenarnya boleh membawa kepada keretakan perhubungan rumah tangga yang dibina kerana terbukanya pekung rahsia mereka dalam kalangan keluarga. Hal ini akan menyebabkan berlakunya pertengkaran dan pergaduhan, yang mana mungkin menghadapi pengakhiran yang buruk.
2. Oleh yang demikian, nasihat yang terbaik bagi pasangan yang baru berkahwin adalah untuk tinggal di rumah yang berasingan dengan keluarga atau keluarga mentua agar tidak berlaku perselisihan atau salah faham antara satu sama lain sehingga menyebabkan salah satu pihak tersinggung, merasa terabai dan sebagainya. Pasangan hendaklah berdikari dalam membina rumah tangga mereka sendiri tanpa campur tangan daripada keluarga. Ini tidak menafikan bahawa mereka juga memerlukan kepada nasihat orang yang lebih berpengalaman dalam menangani masalah rumah tangga mungkin berlaku.
3. Berbincanglah dengan cara yang baik, sekiranya perlu libatkanlah mana-mana tokoh masyarakat yang ibubapa hormati sebagai orang tengah bagai memberi faham kepada mereka tentang batas-batas dan garis sempadan yang boleh mereka campuri dalam urusan anak-anak yang telah berkahwin.
Terima kasih.