BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t.,

Saya ingin memohon penjelasan mengenai isu takaful kesihatan (medical card) dari sudut hukum syarak.

Latar Belakang:

  1. Syarat kelayakan untuk menyertai takaful kesihatan ialah peserta tidak mempunyai rekod penyakit sedia ada (pre-existing condition).

  2. Sebelum mendaftar, saya perlu mengisytiharkan bahawa saya tidak pernah menjalani pembedahan. Namun, saya tidak menyatakan bahawa saya pernah menjalani pembedahan di bahu kanan sebelum ini.

  3. Setelah setahun menyertai takaful, saya mengalami kecederaan semula di bahu kanan (masalah yang sama seperti sebelum mendaftar).

  4. Kos rawatan (RM70,000–RM80,000) ditanggung oleh syarikat takaful.

Persoalan:

  1. Adakah perbuatan saya tidak mendedahkan sejarah pembedahan ketika mendaftar takaful itu berdosa?

  2. Adakah akad takaful saya terbatal kerana tidak memenuhi syarat kelayakan?

  3. Perlukah saya mengembalikan wang RM70,000–RM80,000 kepada syarikat takaful tersebut?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Hadis riwayat Abu Hurairah, sabda Nabi Muhammad SAW:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

 Maksudnya: Kaum Muslimin terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan(Riwayat Abu Daud)

Allah SWT berfirman dalam surah An-Nahl ayat 105:

اِنَّمَا يَفۡتَرِى الۡـكَذِبَ الَّذِيۡنَ لَا يُؤۡمِنُوۡنَ بِاٰيٰتِ اللّٰهِ‌ۚ وَاُولٰۤٮِٕكَ هُمُ الۡكٰذِبُوۡنَ

Maksudnya: Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang berdusta.

Sekiranya syarat kelayakan yang telah ditetapkan tidak dipenuhi dan pihak tuan telah melakukan perbuatan menipu, maka perkara ini adalah dilarang sama sekali dalam Islam dan berdosa. Pelanggaran terhadap syarat-syarat tersebut adalah satu kesalahan yang serius, dan menyebabkan akad yang dibuat menjadi tidak sah dan terbatal. Oleh itu, adalah disarankan agar pihak tuan membuat pengakuan berkenaan pelanggaran kontrak dan syarat yang telah berlaku, serta berbincang dengan pihak takaful bagi mencari penyelesaian yang terbaik secara bersama.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 17

message user image