Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Selepas kematian nenek, ibu saudara (tidak berkahwin) memegang harta peninggalan nenek berbentuk emas, wang tabung haji dan wang tunai yang agak besar jumlahnya. Nenek juga meninggal kan seorang suami, dan 2 orang anak lelaki. Setelah 6 tahun harta tersebut masih disimpan dan tidak dibahagikan. Sementara harta dan emas peninggalan nenek juga tidak jelas butiran nya kerana ibu saudara tidak mengistiharkan jumlah harta. Dalam tempoh beberapa bulan selepas 6 tahun, ibu saudara (pemegang harta nenek) meninggal. Sementara suami kepada nenek dan 2 anak lelaki masih hidup. Bagaimana menbahagikan harta peninggalan nenek itu. Kerana didalam harta nenek telah bercampur aduk dengan harta ibu saudara tadi. Sementara suami kepada nenek juga tidak mengenal pasti harta isteri beliau. Sekian terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada fakta kes yang dikemukakan, terdapat beberapa kaedah bagi menyelesaikan pengurusan harta pusaka arwah nenek.
Pertama: Dinasihatkan agar membuat perbincangan antara dua pihak iaitu waris arwah nenek dan waris arwah ibu saudara bagi mengenal pasti harta-harta si mati masing-masing.
Kedua: Sekiranya tidak dapat dikenal pasti, dinasihatkan agar dua pihak itu membuat persetujuan dalam menentukan harta-harta si mati antara arwah nenek dan arwah ibu saudara.
Ketiga: Setelah mendapat penentuan harta-harta si mati antara arwah nenek dan arwah ibu saudara, seterusnya kaedah pembahagian mengikut faraid bagi waris-waris yang berhak.
Untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian pembahagian faraid yang tepat disarankan untuk merujuk kepada Bahagian Perkhidmatan Harta Pusaka di Majlis Agama Islam Negeri.
Sekian, terima kasih.