Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya tentang hal transaksi crypto.
Bolehkah saya membuat transaksi crypto ini menggunakan kad. Contohnya, kad tevau iaitu kad debit dimana aset crypto seperti USDT, BTC,ETH dan sebagainya disimpan didalamya dan membolehkan pengguna berbelanja terus melalui visa. Kad ini boleh membuat transaksi di dalam ATM dan membeli barang-barang.
Saya berharap boleh memberikan penjelasan kerana kerana ini inisiatif yang mudah untuk membuat transaksi kepada pengguna crypto
Terima kasih.
Jawapan
Mengenai hukum matawang kripto (cryptocurrency): Satu Analisis Syarak, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 yang bersidang pada 8 Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:-
Harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:
a) Urus niaga melibatkan mata wang digital hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;
b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:
i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang digital;
ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang digital dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;
iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan
iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang digital.
c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang digital hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.
Merujuk kepada persoalan, jika transaksi yang dilakukan memenuhi syarat dan penetapan seperti dikemukakan fatwa di atas, maka harus melakukan transaksi kripto menggunakan kad untuk membeli barang dan sebagainya.
Sekian, terima kasih.