Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada kemusykilan tentang puasa ganti. Saya ada berniat dalam hati "esok aku nak puasa ganti" tapi niat yg dilafazkan ialah niat puasa sunat, tapi saya sedar saya nak satukan puasa tersebut. Soalannya adakah puasa ganti tersebut tidak sah?
Jawapan
Tuntutan niat merujuk kepada berniat di dalam hati. Niat seseorang itu adalah sah apabila dia sudah meletakkan azam di dalam hati dan fikirannya tentang hakikat puasa tersebut, maka niat tersebut adalah sah. Syeikh Nawawi bin Umar al-Jawi al-Bantani dalam kitab Kasyifat al-Saja Syarh Safinat al-Naja menyebut:
Maksudnya: (Rukun puasa) pertama: Berniat di waktu malam pada setiap hari bagi puasa yang fardu. Tempat niat ialah di dalam hati. Oleh itu, hendaklah didatangkan dalam fikiran hakikat puasa tersebut iaitu perbuatan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari serta melakukan kewajipan yang mana ia sebahagian daripada amalan bulan Ramadan, kemudian berniat bahawa dia akan melakukan perkara yang dibayangkan tersebut.
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, puasa ganti tersebut dikira sah. Kerana saudari telah mendatangkan azam dan niat puasa ganti di dalam hati sekalipun tidak dilafazkan secara lisan. Kerana lafaz niat secara lisan hanya sunat di sisi mazhab Syafi’i di mana hanya sebagai pembantu menghadirkan niat di dalam hati.
Sekian, terima kasih