Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada beri makanan basah (makanan tin) yang mengandungi pork liver kepada kucing saya yang sedang sakit. Kemudian saya ada pegang makanan tersebut dengan tangan saya dan hanya basuh dengan air dan sabun tangan sahaja. Tapi masa saya pegang tu saya tak tahu makanan tu mengandungi pork. Beberapa hari kemudian baru saya baca ingredient list dan sedar yang makanan tu ada pork. Lepas sedar, saya terus sertu tangan saya. Tapi sebelum saya sedar tu, saya dah pegang banyak benda lain dalam keadaan tangan saya basah dan kering (baju, pinggan mangkuk, cawan dan banyak lagi yang saya pegang dengan tangan basah sebelum saya sertu).
Persoalan saya, adakah barang-barang yang saya dah pegang sebelum saya sertu tangan tu perlu disertu juga (lagi2 barang yang dipegang dengan tangan basah)? Dan memadai ke saya sertu tangan sahaja atau perlu sertu satu badan juga (since saya mandi menggunakan tangan yang belum disertu)? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tangan yang telah dibasuh dengan air dan sabun tidak menjadikan tangan yang terkena najis mughallazah itu suci. Hanya dengan sertu sahaja akan memastikan tangan tersebut telah suci daripada najis. Namun, tangan yang masih lagi belum suci dengan cara sertu tersebut tidak mengakibatkan apa sahaja yang dipegang menjadi najis. Memadai sekadar puan sertu tangan tersebut, tidak perlu pada seluruh badan dan juga barang-barang yang lain.
Sekian, terima kasih.