Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan,
Saya ingin bertanya. Sekiranya saya bernazar untuk menunaikan sedekah berupa wang kepada satu masjid yg berkenaan tetapi saya telah berpindah , bolehkah saya membayar nazar saya ke masjid yang baru.
Harap mendapat balasan jawapan dari pihak tuan.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Semoga sihat sentiasa. Merujuk kepada soalan yang dibangkitkan.
Nazar adalah mewajibkan ke atas diri sendiri perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak ataupun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.
Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)
Justeru, dalam hal ini ia perlu dilihat berdasarkan niat orang yang bernazar. Sekiranya tuan bernazar serta berniat memberikan sejumlah wang kepada masjid tertentu secara khusus seperti berkata:
“Aku bernazar untuk bersedekah di Masjid Al-Falah”
Maka tuan hendaklah menunaikan nazar di masjid tersebut dan tidak boleh dilakukan di masjid yang lain. Tuan perlu berusaha untuk menenunaikan nazar tersebut sebagaimana disyaratkan iaitu di masjid yang telah ditetapkan. Seandainya terdapat halangan yang menyebabkan tuan tidak dapat menunaikan nazar tersebut, maka tuan perlu membayar kaffarah.
Sekian, terima kasih.