BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Saya ingin bertanya wajib atau tidak bapa saudara sebelah bapa menafkahi ank jika bapa kepada dimasukkan ke penjara...wajib atau sekadar ihsan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya, tanggungjawab memberi nafkah kepada seorang anak adalah bapanya.

Namun, sekiranya bapa itu tidak berupaya untuk menanggung nafkah anaknya maka tanggungjawab itu akan diserahkan kepada orang yang ‘bertanggungan’ mengikut hukum syarak.

Mahkamah Syariah boleh memerintahkan pembayaran nafkah kepada orang tertentu sebagaimana peruntukan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Seksyen 61. Kuasa Mahkamah untuk memerintah nafkah bagi seseorang tertentu : Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syarak supaya membayar nafkah kepada seorang lain jika dia tak upaya, sepenuhnya atau sebahagiannya.

Di dalam mentafsirkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut Hukum Syara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia menetapkan melalui Arahan Amalan no. 14 Tahun 2007. Susunan waris yang bertanggungjawab membayar nafkah: 

  1. Orang-orang yang bertanggungan mengikut Hukum Syara yang boleh diperintahkan membayar nafkah bagi seseorang tertentu mengikut peruntukan Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri ialah waris-waris lelaki mengikut tertib 'asobah dalam faraid.
  2. Sekiranya waris-waris lelaki tiada atau tidak berupaya, Mahkamah boleh memperakukannya kepada Baitulmal untuk membayar nafkah tersebut.

Ini bermakna, orang yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada seseorang anak itu selain daripada bapanya adalah antaranya, datuk sebelah bapa, saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa dan bapa saudara lelaki sebelah bapa (iaitu seperti dalam persoalan puan). Mereka boleh diperintahkan oleh phak mahkamah untuk memberi nafkah kepada anak tersebut.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2025
Jumlah Pelawat : 2

message user image