Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Isteri sering meminta cerai tanpa sebab dan sering keluar rumah tanpa izin suami. Apakah layak menuntut mutaah selepas bercerai ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, di dalam syeksyen 58, Enekmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa: Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.
Secara asasnya, undang-undang memperuntukkan seandainya seseorang isteri diceraikan tanpa sebab yang patut, maka isteri berhak mendapat mut'ah. Namun jika sebaliknya, jika isteri diceraikan dengan sebab yang patut, maka isteri tidak berhak mendapat mut'ah. Walau bagaimanapun, di dalam menentukan sama ada isteri diceraikan dengan sebab yang patut atau tidak, ia adalah di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah yang menentukannya. Ini termasuklah dakwaan suami bahawa isteri telah tidak berlaku taat ataupun nusyuz.
Oleh itu, perkara ini hendaklah dibawa kepada Mahkamah Syariah untuk diputuskan.
Terima kasih.