Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti yang saya hormati,
Saya ada mendapat satu tawaran bekerja di sebuah syarikat yang mengilang dan memproses makanan-makanan haiwan ternakan seperti ayam, itik, lembu dan khinzir. Saya ditawarkan bekerja sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan yang mengurus tempahan dari pihak pelanggan termasuklah tempahan dari pemilik-pemilik penternak khinzir. Saya juga akan ditugaskan untuk mengawasi dan memastikan tempahan tersebut selesai di proses dan dibungkuskan sebelum dihantar ke tempat pelanggan. Soalan saya, adalah boleh saya bekerja di syarikat ini?
Sekian, Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan berikut adalah hadis yang diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, (Riwayat al-Bukhari)
Sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka (atas perbuatannya itu). (Riwayat Al-Bukhari)
Berdasarkan panduan kedua-dua hadis ini, jelas bahawa syariat Islam memerintahkan umatnya berlaku ihsan terhadap haiwan ternakan, termasuk memastikan makanan yang mencukupi disediakan untuk keperluan mereka. Justeru, pekerjaan tuan dalam mengurus tempahan makanan haiwan ternakan, walaupun termasuk makanan untuk ternakan khinzir, adalah harus selagi tidak terlibat dalam menjual atau memproses khinzir untuk kegunaan manusia, dan tidak membawa kepada unsur-unsur haram lain.
Kesimpulannya, pekerjaan tersebut diharuskan dengan mengambil kira prinsip menjaga kebajikan haiwan sebagaimana ditekankan dalam hadis di atas, di samping mematuhi garis panduan syarak supaya tidak bersubahat dalam perkara haram berkaitan manusia.
Sekian, terima kasih