Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya ingin memohon pandangan dan penjelasan daripada pihak Pejabat Mufti Selangor berkaitan hukum bekerja di syarikat logistik seperti warehouse J&T. Saya berhasrat untuk bekerja di tempat tersebut, namun saya berasa sedikit was-was kerana terdapat kemungkinan barangan yang diproses atau dihantar melalui syarikat ini termasuk barangan yang haram seperti arak. Soalan saya ialah: Apakah hukum bekerja di syarikat logistik yang berkemungkinan memproses atau menghantar barangan haram seperti arak, sedangkan tugas saya hanyalah sebagai pekerja gudang yang menguruskan barangan secara umum tanpa mengetahui secara langsung isi kandungan setiap bungkusan? Saya mohon penjelasan agar keputusan yang saya buat nanti tidak bercanggah dengan syariat Islam. Sekian, terima kasih atas perhatian dan penjelasan pihak tuan.
Jawapan
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 90:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini dengan menyebut satu riwayat daripada Abdurrahim bin Ghanm RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Dan sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram, Sesungguhnya khamar itu haram dan hasil jualannya juga haram. (Riwayat Ahmad)
Berkaitan arak, Islam sememangnya menggariskan panduan yang sangat ketat sehingga Allah SWT melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak. Namun berdasarkan pertanyaan tuan, setakat ini hanya timbul syak atau keraguan terhadap kandungan tersebut sama ada benar-benar arak atau tidak. Sekiranya diyakini kandungan itu adalah arak, maka sewajarnya ia diuruskan oleh pihak bukan Islam. Adapun tempat bekerja itu sendiri adalah diharuskan kerana operasi utamanya adalah pengeposan dan bukan menjalankan perniagaan arak secara khusus.
Sekian, terima kasih.